إبداء ببسم الله

IP

Sunday, July 12, 2009

Mengulama'kan Profesional, Memprofesionalkan Ulama'...

Pengertian sebenar Ulama’ seringkali disalah tafsirkan, begitu juga dengan tanggungjawab dan peranan yang harus mereka laksanakan.


Ulama’ ialah orang yang ahli (pakar) dalam pengetahuan agama Islam manakala mengulama’kan ialah menjadikan seseorang (golongan) ulama’. (Kamus Dewan DBP : Edisi Ketiga). Masyarakat pada hari ini telah melabel ulama’ sebagai kelompok yang jumud dan tidak profesional. Mereka hanya melihat bidang tertentu seperti perubatan, kejuruteraan, guaman dan sebagainya profesional. Tetapi pada hakikatnya golongan ulama’ juga tergolong dalam golongan profesional kerana mereka mengamalkan pengetahuan, kepakaran dan kemahiran mereka dalam ilmu agama. Malah tahap keprofesionalan mereka labih terserlah kerana disamping komited dalam menyampaikan dakwah (profesional fizikal) mereka juga profesional rohani iaitu dari segi hubungan mereka dengan Allah.


Namun, malangnya Ulama’ secara terbuka ditempelak dan dipertanggungjawab tentang kemunduran umat Islam. Sedangkan kemungkaran dan penyelewengan oleh kelompok tertentu yang mendabik dada kononnya merekalah yang membawa kemajuan di dalam masyarakatlah yang menjatuhkan ketamadunan umat Islam. Mereka lupa bahawa kejatuhan sesebuah kerajaan Islam ialah apabila para ulama’ yang ikhlas dan berwibawa disingkir dan dinafikan tugasnya.


Kejatuhan Kerajaan Abbasiah adalah berpunca dari sikap angkuh pemimpin yang menolak pandangan dan nasihat ulama’. Pemerintah yang leka dengan kemewahan dunia dan terpengaruh dengan tamadun yang dicapai akhirnya negara Islam yang kuat telah berpecah dan tumbang satu demi satu. Keadaan yang sama berlaku ke atas kerajaan Islam Sepanyol. Sikap tamak, berfoya-foya dan bermegah dengan kemajuan dunia menyebabkan mereka hilang pedoman. Berdasarkan situasi hari ini yang amat menekankan kemajuan teknologi, golongan profesional dan ulama’ perlu mempunyai satu hubungan yang sangat rapat.


Sudah tiba masanya untuk kita melahirkan profesional yang ulama’ dan ulama’ yang profesional. Kita tidak mahu hanya melahirkan golongan Al-Mutafakkirin atau pemikir tetapi kita mahu pemikir yang juga menjadi ulama’ kerana ulama’ mempunyai ilmu yang amat luas yang berpandukan wahyu Allah. Sedang pemikir hanya menggunakan akal semata. Golongan sebeginilah yang menjadi angkuh setelah berjaya dalam kerjaya. Mereka meletakkan status profesional mereka sebagai tiket untuk membawa idealisme modenisasi Islam berpandukan acuan barat. Mereka seringkali memberikan tafsiran baru mengenai Islam tanpa berpandukan Al-Qur’an dan Hadis.


Seorang ulama’ itu dikatakan alim ilmu Islam sekiranya memenuhi empat syarat.

Pertama - Memiliki fardhu ain dan fardhu kifayah. Ilmu fardhu ain ialah ilmu yang wajib dipelajari setiap orang; samada alim dalam bidang sains dan teknologi. Ilmu yang dipelajari merangkumi aqidah, syariah dan akhlaq.

Kedua - Ulama’ mestilah beramal dengan ilmu yang dipelajari. Jika mereka ada ilmu tetapi tidak beramal samalah seperti pokok yang tidak berbuah dan ini mengundang dosa besar.

Ketiga - Ikhlas. Hendaklah belajar ilmu itu dengan ikhlas kerana Allah, bukan untuk tujuan lain.

Keempat - Takut kepada Allah. “Yang paling takut ialah ulama.” (maksud al-Qur’an). Ini kerana ulama’lah yang paling kenal Allah. Apabila mereka kenal Allah bermakna merekalah yang paling takut Allah berbanding orang lain. Bagaimanapun kita tidak dapat menentukan ulama’ yang benar-benar mengikut syarat-syarat yang diberi kerana hanya Allah sahaja yang tahu.


Seorang ahli profesional yang ingin meletakkan diri mereka dalam kelompok profesional Islam harus menyiapkan diri mereka dengan ilmu agama dan menguasai teknologi terkini. Sebagai contoh, juruterbang MAS iaitu Hafiz Firdaus yang berjaya menjadikan kerjayanya sebagai platform dakwah. Beliau akan mengalunkan azan dari kokpit sebaik sahaja menyedari masuk waktu solat dan membacakan doa sebelum pesawat berlepas dari landasan. Ini secara tidak langsung menyedarkan penumpang kepentingan solat dan tawakal kepada Allah dalam setiap urusan.


Disamping memerlukan profesional yang ulama’, kita juga ingin melihat ulama’ yang profesional. Memetik kata-kata ulama’ besar India, Maulana Abu Hassan Ali Al-Huseini An-Nadwi bahawa perlunya ada integrasi antara kitab lama yang soleh dan ilmu baru yang bermanfaat. Ulama’ harus menguasai isu-isu semasa dan teknologi terkini agar boleh menyampaikan dakwah dengan lebih berkesan.