إبداء ببسم الله

Wednesday, May 27, 2009

Anugerah Akal : Satu Anugerah

Hari ni ana dah habis exam untuk semester ni. Paper pagi tadi ialah Tilawah dan Tafsir al-Qur'an. Alhamdulillah ana dapat menjawab soalan tersebut dengan baik. Hari ni ana nak masukkan satu cerita yang boleh menjadi pengajaran kepada kita.

Sesetengah orang berfikir bahawa oleh kerana kita mempunya satu ajaran hidup yang sempurna dalam Al-Qur'an, kita boleh terus melaksanakannya dalam kehidupan kita tanpa berfikir mengenainya. Allah menganugerahkan kita akal untuk memahami dan mengamalkan keimanan kita. Inilah yang membezakan kita dengan haiwan. Kita bukanlah makhluk yang terpantas, terbesar, paling gagah, atau yang tertinggi di antara semua makhluk. tetapi kita adalah yang paling bijak di antara makhluk!

Pada suatu masa terdapat seekor singa di hutan. Singa itu memberitahu anaknya; "Engkau tidak perlu takut kepada binatang lain, tetapi awasi diri engkau daripada satu makhluk yang berkaki dua, iaitu manusia, dia ada akal." Pada suatu hari anak singa itu bertemu dengan seorang manusia dan menawannya. Anak singa itu hampir membunuhnya. Anak singa itu teringat akan nasihat bapanya dan bertanya kepada manusia itu, "Bapa telah memberikan amaran kepada aku tentang engkau. Bolehkah engkau tunjukkan akal engkau?" Manusia itupun berkata; "Ya, tetapi aku tinggalkannya di rumah. Kalau engkau lepaskan aku, aku akan balik ke rumah untuk mendapatkannya." Anak singa itupun setuju. Manusia itupun berkata;"Tetapi mungkin engkau akan pergi dari sini dan aku tidak akan menjumpai engkau. Biar aku tambat engkau pada sebatang pokok supaya engkau tidak meninggalkan tempat ini." Anak singa itu bersetuju. Apabila manusia itu menambat anak singa tersebut, dia terus mendapatkan kayu dan memukul anak singa yang malang itu sehingga mati. Dalam saat-saat yang terakhir, anak singa itu mengingati nasihat bapanya;"Berjaga-jagalah dengan manusia, dia ada akal.

Malang sekali kita tidak menggunakan akal kita dengan sepenuhnya. Dalam sesetengah keadaan, kita membiarkannya dalam keadaan baru. Kita tiak pernah menggunakannya! Secara serius, kajian saintifik menunjukkan bahawa manusia biasa jarang-jarang menggunakan seluruh potensi kekuatan akalnya lebih daripada 5-10%.

p/s : Marilah kita bangunkan akal kita semampu yang mungkin. Akal mempunyai kekuatan yang tidak terbatas berbanding kekuatan fizikal yang kita ada.

Sunday, May 24, 2009

Antara Teori Dan Amali

Terdapat seorang sheikh yang berpengalaman melatih kader-kader dakwah- enam bulan secara teori dan tiga bulan secara amali. Seorang pelajar yang telah tamat peringkat teori berasa yakin dapat melaksanakan sesi amali secara bersendirian. Sheikh tadi menasihatkannya, tetapi ia tidak mendengar. pelajar itu pun berangkat ke sebuah kampung yang terpencil untuk melaksanakan dakwah secara praktik. Pada hari Jumaat yang pertama, seorang imam palsu memberikan khutbah yang penuh dengan pembohongan terhadap Allah dan Rasul-Nya. pelajar tersebut berdiri dan berteriak, "Imam ini seorang pembohong. Allah dan Rasul-Nya tidak pernah menyatakan apa yang telah disampaikannya tadi." Imam itu menjawab,"pemuda ini seorang kafir dan perlu dihukum." Sidang Jumaat memukul pelajar tersebut sehingga parah. pelajar itu pun kembali menemui sheikhnya dalam keadaan cedera yang parah. Sheikhnya pun berkata,"Biar aku tunjukkan kepada kamu contoh dakwah yang baik." Pada hari Jumaat yang berikutnya, mereka pergi ke masjid yang sama. Imam tersebut menyampaikan isi khutbah yang sama seperti sebelumnya. Setelah mendengar khutbah, sheikh itu berdiri dan berkata,"Imam kamu seorang daripada ahli syurga. Sesiapa yang mendapatkan walau sehelai rambut atau janggutnya akan masuk syurga." Pada ketika itu juga, ahli jemaah mengerumuni imam itu dan mencabut sehelai demi sehelai janggutnya sehingga licin dan dia ditinggalkan dalam keadaan yang berlumuran darah. Kemudian sheikh dan pelajar itu berbisik kepada imam,"Adakah kamu akan berhenti berbohong tentang Allah dan Rasul-Nya (S.A.W.) dan mengubah diri kamu? Atau kamu inginkan pembalasan yang lain?" Imam itu mengakui akan kesalahannya dan bertaubat. Pelajar tadi menyedari akan kesalahannya dan berjanji dengan sheikhnya akan mengikuti sesi amali selama tiga bulan.

Di sana terdapat perbezaan yang jauh antara teori dan praktik.

Tuesday, May 19, 2009

Anak Kita dan Anak Mereka

Assalamualaikum...

Hari ni ana selesai menduduki 1 kertas ujian final untuk semester ni. Subjek hari ni ialah Pengurusan Bilik Darjah dan Tingkah Laku. Apa kaitan tajuk yang ana post dgn subjek ana hari ni? Ada kaitannya...

Paper yang ana duduki hari ni membincangkan bagaimana guru ingin mengawal kelas dan menjadikan suasana pembelajaran menjadi kondusif serta kawalan disiplin bilik darjah. Subjek ni juga membincangkan mengenai murid-murid yang berkeperluan khas. Tapi, yang ana nak tekankan dalam artikel hari ni ialah mengenai disiplin murid-murid.

Baik...

Satu persoalan untuk di jawab...

Anak-anak anda, adik-adik anda ataupun anak-anak murid anda malas belajar? Ponteng sekolah? Suka ponteng kelas?

Berikut adalah paparan-paparan cerita anak-anak Palestin yang boleh diceritakan kepada mereka untuk dijadikan pengajaran...

Mahmoud (9 tahun) dari Beit Hanun, Gaza.

Sekolah dan kanak-kanak turut menjadi mangsa keganasan rejim Zionis dengan alasan mencari pejuang-pejuang Palestin. Sekoalh Mahmoud turut dirobohkan.

Jentolak dan kereta perisai yang meruntuhkan bangunan sekolah turut melepaskan tembakan ke arah sekolah dan kanak-kanak tersebut. Mujurlah kanak-kanak sekolah dikeluarkan terlebih dahulu dari bangunan sekolah.

Persoalannya, sekolah telah hancur dan musnah, bagaimana Mahmoud dan rakan-rakannya akan bersekolah? Jika mereka ingin bersekolah, ke mana mereka hendak pergi?

Sedangkan sekolah UNRWA yang terletak lebih kurang 20km daripada kawasan kem pelarian mereka. Adakah ini bermakna Mahmoud dan rakan-rakan terpaksa melupakan masa depan mereka?

Masalah ini ditangani apabila semua guru sanggup menjadikan rumah mereka sebagai kelas mengikuti mata pelajaran yang di ajar oleh guru tersebut. Contohnya, jika mereka mahu belajar Matematik, rumah cikgu Sa'id merupakan tempat untuk belajar Matematik. Jika mereka hendak belajar bahasa Inggeris, mereka akan ke rumah cikgu Hannan.

Bagi Mahmoud, suasana belajar seumpama ini amat menyeronokkan. Rejim Zionis mungkin dapat meruntuhkan bangunan-bangunan sekolah tetapi tidak dapat meruntuhkan semangat perjuangan dalam jiwa mereka. Pesanan pengetua sekoalh mereka:

"Kita sudah hilang segala-galanya, rumah, sekolah, kampung, tanah air dan juga harta. Tetapi kita tidak sekali-kali akan hilang jiwa dan akal. Mereka boleh menghancurkan segala-galanya, tetapi semangat jihad dan juga semangat juang dalam diri kamu semua sekali-kali tidak akan dapat mereka rampas. Lengkapkan diri kamu dengan pelajaran, insyaALLAH masa depan yang lebih cerah akan menjadi milik kita... itulah janji ALLAH!"


Hind (12 tahun) Tebing Barat.

Hind seorang murid sekolah rendah di Tebing Barat. Dia tidak terlepas dari kesulitan hidup disebabkan oleh tembok pemisah yang dibina. Sekolahnya terletak di sebelah dalam tembok, manakala rumahnya di luar kawasan tembok.

Sebelum tembok ini dibina, Hind akan berjalan kaki selama 20 minit untuk sampai ke sekolah bersama-sama rakan-rakannya. Dia tidak pernah lambat ke sekolah. Begitui juga dengan rakan-rakannya.

Itu adalah tabiat murid-murid Palestin. Kelewatan masuk kelas merupakan suatu yang mengaibkan bagi diri mereka dan keluarga mereka. Cikgu Jumanah pernah mengatakan:

"Jika kamu sengaja lambat hadir ke kelas, bermakna kamu melambatkan usaha kemerdekaan negara kita!"

Pernah ada rakan Hind yang terlambat ke kelas kerana ditahan dan diperiksa oleh tentera Zionis di jalan raya. Dia telah menangis sepanjang hari walaupun tidak dimarahi oleh guru kelasnya. Apabila dipujuk oleh gurunya, dia mengatakan:

"Saya tidak mahu kerana saya lambat, rakyat Palestin akan terus hidup merana dan dibunuh oleh Yahudi."

Mujurlah guru-guru di sekolah memahami dan ikhlas dalam mendidik anak-anak bangsa mereka. Bagi murid-murid yang lambat, guru-guru akan mengadakan kelas tambahan secara percuma.

Walaupun tanpa sebarang bayaran, mereka tetap gigih demi mendidik anak-anak mereka yang dahagakan ilmu dan bimbingan. Walaupun dihalang oleh tembok pemisah yang besar, anak-anak Palestin tidak pernah putus asa untuk pergi ke sekolah untuk menimba ilmu. Adakah anak-anak kita ataupun kita sendiri mempunyai semangat segigih ini? Tepuk dada tanyalah iman masing-masing.


Lou ay (10 tahun) Refah, Gaza.

Lou ay masih ingat, siren yang dipasang oleh para tentera rejim untuk memberi amaran kepada para penduduk agar meninggalkan rumah masing-masing. Ketika itu, Lou ay sedang menyiapkan kerja rumahnya. Ibunya sedang menyusukan adiknya. Manakala bapa Lou ay tiada di rumah menziarahi jiran mereka, Abu Samir yang cedera ditembak oleh tentera rejim.

Tentera rejim menendang pintu rumahnya dan menjerit menyuruh mereka keluar. Maki hamun dalam bahasa Arab dan bahasa Ibrani (Hebrew) menyulami jerkahan mereka. Lou ay, ibu dan adiknya bergegas meninggalkan rumah mereka dengan mencapai apa sahaja yang sempat.

Lou ay masih teringat ibunya menjerit, "beg sekolah kamu!, beg sekolah kamu!" Ketika mereka bergegas keluar sambil but salah seorang tentera Zionis hinggap di punggungnya dan juga di pinggang ibunya yang hampir-hampir membuatkan ibunya tersungkur.

Pada malam itu, dengan mata kepalanya sendiri, Lou ay menyaksikan rumahnya dan rumah-rumah jirannya yang lain telah dirobohkan. Sesekali terdengar bunyi tembakan di jalan besar. Komando al-Qassam yang datang untuk menghalau tentera-tentera Zionis.

Bunyi tembakan itu hanya seketika dan tidak dapat menghalang rumahnya daripada dirobohkan. malam itu, mereka terpaksa bermalam di jalan raya. Suasana sejuk menjadikan mereka kaku.

Mujurlah badan-badan kebajikan rakyat Palestin datang membantu mereka dan menempatkan mereka di pejabat-pejabat dan juga markaz-markaz mereka. Kata ibu Lou ay:

"Mereka ini orang HAMAS, sebab itu mereka membantu kita!"

Lou ay tahu. HAMAS berada dalam hati setiap anak-anak Palestin. Mereka adalah penyelamat dan juga pelindung sebenar rakyat Palestin. HAMAS banyak membantu rakyat Palestin. Mendidik anak-anak Palestin sepertinya. Yang lebih penting, dapat membunuh dan menentang para tentera rejim Zionis yang kejam dan zalim.

keesokan harinya, ayah dan ibu membawa Lou ay pergi ke puing-puing rumah mereka. Pesan ayah, urusan rumah serahkan kepada ayah. Nanti kita bina yang baru. Tetapi kamu cari beg sekolah dan buku-buku kamu. Hari ini kamu akan ke sekolah!

Di sekolah, tidak seorang pun jiran-jirannya yang ponteng. Semua hadir bersama-sama lou ay demi memperlengkapkan diri mereka dengan ilmu. Pesan Syeikh Maad, imam di salah sebuah masjid di kem mereka:

"Rumah di dunia ini boleh dirobohjan, tetapi rumah kita di syurga kekal selama-lamanya. Oleh itu, carilah jalan untuk membina rumah di syurga, bermula dengan mencari ilmu!"


*
Cerita ini ana ambik dari buku Peluru Lawan Batu: Konflik Palestin & Israel karangan Ustaz Maszlee Malik.

Berdasarkan cerita yang telah di kemukakan di atas, ana rasa banyak pengajaran yang kita perolehi. Bukan sahaja oleh murid-murid tetapi juga oleh ibubapa, guru dan masyarakat. Di negara kita kenapa masih ramai yang lena? Ini kerana disebabkan kita berada dalam zon yang selesa. Oleh itu, marilah sama-sama kita berubah kepada lebih baik. Kitalah penentu kejayaan dan kegemilangan masa depan Islam. Kita jugalah pencorak masa hadapan anak-anak kita.

Save Palestin!!!

Saturday, May 16, 2009

Happy Teachers Day



Selamat hari Guru di ucapkan kepada semua warga pendidik, terutamanya guru-guru yang telah mengajar ana sejak dari PASTI lagi. Pasti Maahad Darul Qur'an Slow Machang, Sek. Keb. Tanjong Chenok, Sek. Men. Ugama (Arab) Pasir Mas yang kini dikenali dengan Maahad Muhammadi Pasir Mas, Sek. Men. Ugama (Arab) Yaakubiah yang juga bertukar nama kepada Maahad Yaakubiah. Jasa cikgu-cikgu, ustaz-ustaz dan ustazah-ustazah semua sentiasa dalam kenangan. Jasa anda semua amat besar dan tidak mampu untuk di balas oleh kami anak murid anda semua.

TERIMA KASIH CIKGU
THANKS YOU TEACHERS
شكرا لكم

Ana juga ingin memohon maaf sekiranya ada silap dan salah yang telah ana lakukan sepanjang ana belajar. Disini, nama guru-guru tidak dapat disenaraikan kerana terlalu ramai guru yang telah mengajar ana. Akan tetapi dua orang guru yang akan ana pahatkan nama mereka disini. Mereka ialah Umi ana (Noor Aini Bt. Yaacob) dan Abah ana (Abdul Kodi Bin Awang). Mereka adalah guru pertama ana sebelum ana mendapat guru yang seterusnya kerana sejak ana berada dalam kandungan umi ana lagi mereka telah menjadi guru ana.

شكرا لكما يا أمي وابي
TERIMA KASIH UMMI WA ABI
THANKS YOU UMMI AND ABAH
==================================================================

GURU PEMBINA NEGARA BANGSA


Bersedia melangkah megah
Walaupun sukar baktiku curah
Demi mu ibu pertiwi
Sumpah ku lafaz janji kukota

Berikrar eratkan bangsa
Kukuhkan cinta kepada Negara
Berjasa terus berjasa
Menyebarkan ilmu tiada batasnya

Guru Pembina Negara Bangsa
Gagah perjuangkan visi Negara
Bangunkan jiwa yang pelbagai rupa
Demi agama dan nusa tercinta

Guru Pembina Negara Bangsa
Tetap Unggul senadakan suara
Sehaluan menggapai matlamatnya
Cemerlang dan gemilangkan Malaysia

Pencipta Lagu : Khairulrizam bin Khalid
Pencipta Lirik : Ili Nurbahirah bt Baharudin
Pengubah Muzik : Marzuki bin Tambi

Wednesday, May 13, 2009

Layar Cinta

Ya Hannan,,,
Denai hijau, langit biru, gunung kelabu...

Bukanlah sekadar bingkai satu pemandangan
Yang menyuratkan sebuah keindahan...
Tapi potret hakiki menyerlahkan kebenaran
Cermin alam yang memantulkan keindahan Tuhan

Denai, langit dan gunung
Adalah satu cubitan kasih pada satu kealpaan
Pada limpahan nikmat selaut indah
Ke mana tumpahnya munajat seraut sembah?
Sekian lama melihat alam penuh teratur
Mengapa hatimu masih lupa untuk bersyukur?

Denai, langit dan gunung
Adalah pantulan lambang biasan tamsilan
Gunung... bagai pasak teguh kemurnian iman
langit... hamparan saujana kelapangan Islam
Denai... lembah subur kelembutan ihsan
Adalah citra di kanvas hati yang dihiasi...
Rasa kehambaan

Ketika sunyi diri berwacanalah diri di dalam diri
Ya Hannan, teguhkanlah imanku
Seteguh gunung itu...
Ya Mannan, lapangkanlah Islamku
Selapang langit biru...
Dan lembutkanlah ihsanku
Selembut rumput di denai itu
Nescaya bertamulah diri yang hakiki
Di kamar hati cinta Ilahi

Ya Allah...
Tika gagah-Mu bercermin alam sepenuh
Terasa lemahku mencengkam diri seluruh
Dan kolam hatiku tak kan selamanya keruh
Insya-Allah

Tuesday, May 12, 2009

Basyir dan Nazir

Setiap Rasul diutuskan sebagai pembawa berita gembira (basyir) dan pemberi peringatan (nazir) kepada manusia. Menyampaikan berita gembira kepada mereka yang taat melakukan ibadat kepada Allah Taala dan memberi peringatan dan amaran kepada mereka yang melanggar perintah-Nya. Ini jelas diterangkan oleh Allah Taala dalam al-Quran: Maksudnya: Sesungguhnya Kami mengutusmu dengan (agama) yang benar, sebagai pembawa berita gembira (kepada orang-orang yang beriman) dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar); dan tidak ada, sesuatu umat pun melainkan telah ada dalam kalangannya dahulu seorang Rasul pemberi ingatan dan amaran. (Surah Fathir: 24).

Sebagai utusan Allah, para Rasul mempunyai kebijaksanaan dalam berdakwah bagi menangani karenah masyarakat pada zaman itu. Mereka bijak menggunakan sama ada pendekatan 'basyir' atau 'nazir' terhadap orang yang mereka seru.

Kepada mereka yang terlalu 'khauf' (takut) dan kuat melakukan ibadat kerana takut kepada azab Allah, para Rasul memberikan berita gembira tentang syurga dan keseronokannya. Dengan cara ini, mereka berasa tenang, gembira dan tidak terlalu khauf tentang azab Allah. Para rasul adalah pakar motivasi dan kaunselor yang memberikan ketenangan jiwa kepada umatnya.

Sebaliknya kepada mereka yang ingkar dan kufur kepada Allah, para Rasul memilih pendekatan 'nazir' iaitu menyampaikan berita seksa dan pembalasan azab yang amat pedih di neraka. Dengan cara ini, mereka akan mengetahui kesalahan yang mereka lakukan dan betapa pedihnya azab Allah jika amalan itu diteruskan. Akibatnya, mereka akan bertaubat dan mula mentaati Allah.

Sungguhpun begitu adakalanya Rasul menggunakan kombinasi 'basyir' dan 'nazir' bergantung kepada keadaan orang yang didakwah. Demikianlah contoh teladan yang ditunjukkan oleh para rasul ketika berdakwah. Mereka yang terlalu 'khauf' digembirakan dengan berita syurga dan yang terlalu 'rajak' diancam dengan berita neraka. Begitu juga tentang hukuman bagi pesalah dirujuk kepada Al-Quran tanpa memilih kasih. Masyarakat sekarang dilanda pelbagai penyakit sosial. Mereka perlu diberi rawatan dengan resepi perubatan yang mujarab sesuai dengan penyakit yang dihidapi. Kenapa penyakit masyarakat semakin menjadi walaupun pelbagai pendidikan dan program diperkenalkan. Jawapannya adalah kerana penyakit lain, ubat yang diberi pula lain. Iaitu, lain sakit lain pula ubatnya. Untuk mengubati penyakit, kita perlu mengetahui puncanya. Punca penyakit masyarakat masa kini ialah hilangnya perasaan khauf dan meluasnya perasaan rajak di dalam jiwa.

Berdasarkan huraian di atas, penyampaian bagaimanakah agaknya yang sesuai untuk golongan tersebut? Jawapan anda tepat iaitu dengan memberikan ancaman dan amaran tentang balasan dan azab yang bakal diterima di neraka. Pendekatan 'basyir' tidak sesuai bagi mereka. Dalam Islam tiada kompromi tentang hukuman dan hudud. Hukum-hakam dalam Islam tidak berubah walaupun masa telah berubah. Hukuman berzina, mencuri misalnya tetap sama seperti hukuman yang dikenakan semasa zaman Nabi. Agama Islam telah lengkap dan tak perlu diubahsuai atau ditokok tambah. Demikian besarnya peranan yang perlu dimainkan untuk mengatasi masalah sosial yang semakin meruncing dewasa ini. Sekiranya pelaksanaan hukuman hudud diperkenalkan selama ini, sudah tentu masalah sosial seperti yang berlaku sekarang ini tidak akan berlaku.

Thursday, May 7, 2009

Luahan Hati Seorang Muslimah

Oleh: Angle Eyes

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh...

Entah angin apa yang membuai hari ini, membuatkan aku begitu berani mencoretkan sesuatu untuk dirimu yang tidak pernah aku kenali. Aku sebenarnya tidak pernah berniat untuk memperkenalkan diriku kepada sesiapa. Apatah lagi meluahkan sesuatu yang hanya aku khususkan buatmu sebelum tiba masanya. Kehadiran seorang lelaki yang menuntut sesuatu yang ku jaga rapi selama ini semata-mata buatmu, itulah hati dan cintaku, membuatkan aku tersedar dari lenaku yang panjang.

Ibu telah mendidikku semenjak kecil agar menjaga maruah dan mahkota diriku kerana ALLAH telah menetapkannya untukmu suatu hari nanti. Kata ibu, tanggungjawab ibu-bapa terhadap anak perempuan ialah menjaga dan mendidiknya sehingga seorang lelaki mengambil-alih tanggungjawab itu dari mereka. Jadi, kau telah wujud dalam diriku sejak dulu lagi. Sepanjang umurku ini, aku menutup pintu hatiku daripada mana-mana lelaki kerana aku tidak mahu membelakangimu.

Aku menghalang diriku daripada mengenali mana-mana lelaki kerana aku tidak mahu mengenali lelaki lain selainmu, apatah lagi memahami mereka. Kerana itulah aku sedaya kudrat yang lemah ini membatasi pergaulanku dengan bukan mahramku. Aku lebih suka berada di rumah kerana rumah itu tempat terbaik buat seorang perempuan. Aku sering berasa tidak selamat diperhatikan lelaki. Bukanlah aku bersangka buruk terhadap kaummu, tetapi lebih baik aku berwaspada kerana contoh banyak didepan mata.

Aku palingkan wajahku daripada lelaki yang asyik memerhati diriku atau cuba menegurku. Aku sedaya mungkin melarikan pandanganku daripada lelaki ajnabi kerana Sayyidah Aisyah r.a pernah berpesan, "Sebaik-baik wanita ialah yang tidak memandang dan tidak dipandang oleh lelaki." Aku tidak ingin dipandang cantik oleh lelaki. Biarlah aku hanya cantik di matamu. Apalah gunanya aku menjadi idaman ramai lelaki sedangkan aku hanya boleh menjadi milikmu seorang.
Aku tidak berasa bangga menjadi rebutan lelaki bahkan aku berasa terhina diperlakukan begitu seolah-olah aku ini barang yang boleh dimiliki sesuka hati.

Aku juga tidak mahu menjadi punca kejatuhan seorang lelaki yang dikecewakan lantaran terlalu mengharapkan sesuatu yang tidak dapat aku berikan. Bagaimana akan ku jawab di hadapan ALLAH kelak andai disoal? Kalau aku tidak ingin engkau memandang perempuan lain, aku dululah yang perlu menundukkan pandanganku. Aku harus memperbaiki dan menhias peribadiku kerana itulah yang dituntut oleh ALLAH. Kalau aku ingin lelaki yang baik menjadi suamiku, aku juga perlu menjadi perempuan yang baik. Bukankah ALLAH telah menjanjikan perempuan yang baik itu untuk lelaki yang baik?

Tidak ku nafikan sebagai remaja, aku memiliki perasaan untuk menyangi dan disayangi. Namun setiap kali perasaan itu datang, setiap kali itulah aku mengingatkan diriku bahawa aku perlu menjaga perasaan itu kerana ia semata-mata untukmu. ALLAH telah memuliakan seorang lelaki yang bakal menjadi suamiku untuk menerima hati dan perasaanku yang suci. Bukan hati yang menjadi lebihan lelaki lain. Engkau berhak mendapat kasih yang tulen.

Diriku yang sememangnya lemah ini telah diuji oleh ALLAH apabila seorang lelaki ingin berkenalan denganku. Aku dengan tegas menolak, berbagai-bagai dalil aku kemukakan, tetapi dia tetap tidak berputus asa. Aku terasa seolah-olah kehidupanku yang tenang sebelum ini telah dirampas dariku. Aku tertanya-tanya adakah aku berada di tebing kebinasaan? Aku beristighfar memohon keampunan-Nya. Aku juga berdoa agar Pemilik Segala Rasa Cinta melindungi diriku dari kejahatan.

Kehadirannya membuat aku banyak memikirkan tentang dirimu. Kau ku rasakan seolah-olah wujud bersamaku. Di mana sahaja aku berada, akal sedarku membuat perhitungan denganmu. Aku tahu lelaki yang melamarku itu bukan dirimu. Malah aku yakin pada gerak hatiku yang mengatakan lelaki itu bukan teman hidupku kelak. Aku bukanlah seorang gadis yang cerewet dalam memilih pasangan hidup. Siapalah diriku untuk memilih permata sedangkan aku hanyalah sebutir pasir yang wujud di mana-mana. Tetapi aku juga punyai keinginan seperti wanita solehah yang lain, dilamar lelaki yang bakal dinobat sebagai ahli syurga, memimpinku ke arah tuju yang satu. Tidak perlu kau miliki wajah setampan Nabi Yusuf a.s, juga harta seluas perbendaharaan Nabi Sulaiman a.s, atau kekuasaan seluas kerajaan Nabi Muhammad s.a.w, yang mampu mendebarkan hati jutaan gadis untuk membuat aku terpikat. Andainya kaulah jodohku yang tertulis di Luh Mahfuz, ALLAH pasti mencampakkan rasa kasih dalam hatiku jua hatimu. Itu janji ALLAH. Akan tetapi, selagi kita tidak diikat dengan ikatan yang sah, selagi itu jangan dibazirkan perasaan itu kerana kita masih tidak punya hak untuk berbuat begitu. juga jangan melampaui batasan yang telah ALLAH tetapkan. Aku takut perlakuan itu akan memberi kesan yang tidak baik dalam kehidupan kita kelak.

Permintaanku tidak banyak. Cukuplah engkau menyerahkan seluruh dirimu pada mencari redha Ilahi. Aku akan berasa amat bertuah andai dapat menjadi tiang seri ataupun sandaran perjuanganmu. Bahkan aku amat bersyukur pada Ilahi kiranya akulah yang ditakdirkan meniup semangat juangmu, menghulurkan tanganku untukmu berpaut sewaktu rebah atau tersungkur di medan yang dijanjikan ALLAH dengan kemenangan atau syahid itu. Akan ku kesat darah dari lukamu dengan tanganku sendiri. Itu impianku.

Aku pasti berendam air mata darah, andainya engkau menyerahkan seluruh cintamu padaku. Cukuplah kau mencintai ALLAH dengan sepenuh hatimu kerana dengan mencintai ALLAH, kau akan mencintaiku kerana-Nya. Cinta itu lebih abadi dari cinta biasa. Moga cinta itu juga yang akan mempertemukan kita kembali di syurga...

Wassalam...


Artikel ini ana tujukan kepada saudara seagama ana yang bergelar Muslimah. Moga-moga antunna semua yang sedang tercari-cari cinta sejati dapat mengambil iktibar dari artikel yang tidak seberapa ini kalau dibandingkan dengan ilmu ALLAH yang tak terhitung banyaknya.

Juga kepada saudaraku yang lelaki, kalau antum ingin mencari suri hidup antum seorang Muslimah yang Mukminah, ia hendaklah terlebih dahulu dimulai dari diri antum semua.

Bagaimana???

Jadilah seorang yang soleh barulah antum akan mendapat isteri yang solehah.
Jangan harapkan isteri solehah sedangkan diri kita jauh sekali dari ciri-ciri lelaki soleh.

InsyaALLAH...