Setiap Rasul diutuskan sebagai pembawa berita gembira (basyir) dan pemberi peringatan (nazir) kepada manusia. Menyampaikan berita gembira kepada mereka yang taat melakukan ibadat kepada Allah Taala dan memberi peringatan dan amaran kepada mereka yang melanggar perintah-Nya. Ini jelas diterangkan oleh Allah Taala dalam al-Quran: Maksudnya: Sesungguhnya Kami mengutusmu dengan (agama) yang benar, sebagai pembawa berita gembira (kepada orang-orang yang beriman) dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar); dan tidak ada, sesuatu umat pun melainkan telah ada dalam kalangannya dahulu seorang Rasul pemberi ingatan dan amaran. (Surah Fathir: 24).
Sebagai utusan Allah, para Rasul mempunyai kebijaksanaan dalam berdakwah bagi menangani karenah masyarakat pada zaman itu. Mereka bijak menggunakan sama ada pendekatan 'basyir' atau 'nazir' terhadap orang yang mereka seru.
Kepada mereka yang terlalu 'khauf' (takut) dan kuat melakukan ibadat kerana takut kepada azab Allah, para Rasul memberikan berita gembira tentang syurga dan keseronokannya. Dengan cara ini, mereka berasa tenang, gembira dan tidak terlalu khauf tentang azab Allah. Para rasul adalah pakar motivasi dan kaunselor yang memberikan ketenangan jiwa kepada umatnya.
Sebaliknya kepada mereka yang ingkar dan kufur kepada Allah, para Rasul memilih pendekatan 'nazir' iaitu menyampaikan berita seksa dan pembalasan azab yang amat pedih di neraka. Dengan cara ini, mereka akan mengetahui kesalahan yang mereka lakukan dan betapa pedihnya azab Allah jika amalan itu diteruskan. Akibatnya, mereka akan bertaubat dan mula mentaati Allah.
Sungguhpun begitu adakalanya Rasul menggunakan kombinasi 'basyir' dan 'nazir' bergantung kepada keadaan orang yang didakwah. Demikianlah contoh teladan yang ditunjukkan oleh para rasul ketika berdakwah. Mereka yang terlalu 'khauf' digembirakan dengan berita syurga dan yang terlalu 'rajak' diancam dengan berita neraka. Begitu juga tentang hukuman bagi pesalah dirujuk kepada Al-Quran tanpa memilih kasih. Masyarakat sekarang dilanda pelbagai penyakit sosial. Mereka perlu diberi rawatan dengan resepi perubatan yang mujarab sesuai dengan penyakit yang dihidapi. Kenapa penyakit masyarakat semakin menjadi walaupun pelbagai pendidikan dan program diperkenalkan. Jawapannya adalah kerana penyakit lain, ubat yang diberi pula lain. Iaitu, lain sakit lain pula ubatnya. Untuk mengubati penyakit, kita perlu mengetahui puncanya. Punca penyakit masyarakat masa kini ialah hilangnya perasaan khauf dan meluasnya perasaan rajak di dalam jiwa.
Berdasarkan huraian di atas, penyampaian bagaimanakah agaknya yang sesuai untuk golongan tersebut? Jawapan anda tepat iaitu dengan memberikan ancaman dan amaran tentang balasan dan azab yang bakal diterima di neraka. Pendekatan 'basyir' tidak sesuai bagi mereka. Dalam Islam tiada kompromi tentang hukuman dan hudud. Hukum-hakam dalam Islam tidak berubah walaupun masa telah berubah. Hukuman berzina, mencuri misalnya tetap sama seperti hukuman yang dikenakan semasa zaman Nabi. Agama Islam telah lengkap dan tak perlu diubahsuai atau ditokok tambah. Demikian besarnya peranan yang perlu dimainkan untuk mengatasi masalah sosial yang semakin meruncing dewasa ini. Sekiranya pelaksanaan hukuman hudud diperkenalkan selama ini, sudah tentu masalah sosial seperti yang berlaku sekarang ini tidak akan berlaku.
No comments:
Post a Comment