إبداء ببسم الله

Friday, December 11, 2009

SIFAT ORANG CEMERLANG

Semua ibu bapa mahukan anak-anak cemerlang dalam semua aspek kehidupan. Mereka mahu anak cemerlang dalam pelajaran, kalau boleh menggondol semua atau straight A dalam peperiksaan.

Mereka juga mahu anak mereka cemerlang dalam akhlak, sahsiah dan perhubungan sesama manusia. Kalau boleh, mereka juga mahu anak cemerlang dalam sukan, persatuan, mengurus kehidupan dan kerjaya.
Yang perlu memikul beban ini ialah anda sendiri. Sebab itu anda harus sedia mulai sekarang untuk menjadi cemerlang. Anda tidak semestinya memiliki bakat semulajadi yang terlalu tinggi seperti orang lain yang telah berjaya dengan cemerlang. Namun anda harus mulai menghayati sifat-sifat orang cemerlang.
Apakah kayu pengukur kecemerlangan menurut perspektif Islam? Bolehkah kita ambil contoh kejayaan tokoh-tokoh Islam terdahulu dari sudut personaliti, keluarga, kerjaya, agama, sains, perubatan, ketamadunan, politik dan ekonomi.

FAKTOR KEJAYAAN
Apakah faktor kejayaan mereka sehingga mereka dikenali seantero dunia dan sumbangan mereka memberi kesan yang besar dalam kehidupan manusia? Tokoh Islam terdahulu telah terbukti mencipta sejarah kecemerlangan hingga diguna pakai hari ini.
Tokoh-tokoh yang berjaya ini mempunyai sifat cemerlang yang tiada tolok bandingnya. Antara sifat kecemerlangan antaranya ialah:

 Niat yang Betul
Rasulullah s.a.w. bersabda bermaksud, "Setiap amalan adalah dengan niat." (Riwayat Bukhari dan Muslim daripada Saiyidina Umar al-khattab)
Oleh sebab itu, anda harus sentiasa memasang dan membetulkan niat sebelum memulakan apa jua pekerjaan samada yang berbentuk ibadah mahupun amal kebiasaan.

 Ada Wawasan dan Matlamat
Anda harus meletakkan wawasan dan matlamat dalam hidup. Ada cerita tentang tiga orang pekerja binaan. Apabila ditanya apakah wawasan dan matlamat mereka bekerja:
Pekerja pertama: "Saya nak cari makan."
Pekerja kedua: "Saya nak siapkan dinding bangunan ini."
Pekerja yang ketiga: "Saya hendak membina bandar yang indah dan permai."
Ya, pekerja yang ketiga itu mempunyai wawasan dan matlamat. Namun sebagai seorang Islam, matlamat tidak boleh menghalalkan cara. Anda terikat dengan peraturan dan hukum-hakam Islam. Matlamat duniawi anda mestilah berkaitan dengan kehidupan di akhirat.

 Berani dan Sanggup Berkorban
Tokoh-tokoh Islam terdahulu sanggup untuk bersusah payah. Lihat sahaja sejarah hidup Imam al-Nawawi dalam menuntut ilmu. Beliau sentiasa menghabiskan masa dengan belajar, menulis, menghafal, solat dan bertasbih. Apabila mengantuk, beliau tidur sebentar sambil duduk.
Umar Abdul Aziz, khalifah yang ketiga dibunuh pada usia 40 tahun. Khalid al-Walid mengharungi 100 medan peperangan, membunuh 5,000 orang musuh dalam Perang Yarmuk serta mematahkan 9 bilah pedang. Ali bin Abi Talib berani beradu kekuatan dalam Perang Badar, membuka benteng Khaibar dan menyembelih Amru bin Wud dalam Perang Khandak.

 Sentiasa Menambah Ilmu
Bagaimana tokoh terdahulu menguasai ilmu pengetahuan? Lihat bagaimana Imam Ahmad memberi fatwa kepada 60,000 permasalahan dengan disertai dalil. Lihat juga bagaimana Imam Abu Hanifah menjual sebahagia perabot rumahnya semata-mata digunakan untuk mencari ilmu.

 Perhatian Terfokus
Untuk cemerlang anda harus fokus kepada apa yang sedang anda lakukan. Lihat sahaja bagaimana Jabir bin Abdullah sanggup menempuh perjalanan selama sebulan ke Mesir semata-mata mencari sepotong hadis.
Kuasa fokus mampu menghasilkan kejayaan yang cemerlang seperti kuasa cahaya matahari yang difokuskan oleh kanta cembung yang mampu menukar tenaga cahaya matahari kepada tenaga api.

 Daya Tahan yang Tinggi
Untuk berjaya kita juga harus bekerja dengan lebih keras dan komited. Jangan cepat menyerah kalah. Gunakan masa pada tahap optimum. Setiap pekerjaan hendaklah dilakukan dengan istiqamah iaitu kerja yang berterusan (consistence).

 Bersifat Warak
Warak bermakna sentiasa bersiap sedia untuk menuju ke alam akhirat, namun tidak sekali-kali meninggalkan kepentingan duniawi. Abu Thalhah al-Ansari berpuasa 40 tahun berturut-turut. Imam al-Bukhari pernah berkata,"Aku tidak pernah berdusta sejak aku baligh." Imam Syafii pula berkata,"Aku tidak pernah bersumpah demi Allah, samada benar atau dusta."

 Sabar
Untuk mencapai kecemerlangan kita harus bersabar. Kejayaan tidak mungkin berhasil semalaman. Cuba bayangkan bagaimana Ibn Hajar mengarang kitab Fath al-Bari dan Muqaddimah dalam tempoh 32 tahun dan Abu Ubaid mengarang kitab al-Gharib dalam masa 40 tahun.

 Contohi Orang yang Berjaya
Kita mudah mengikut jalan yang telah ditempuh oleh tokoh yang telah berjaya. Metodologi yang diguna pakai telah terbukti berkesan. Cuba teliti sejarah dan biografi hidup mereka. Ibn Sina sendiri membaca buku al-Farabi sebanyak 40 kali sebelum menghasilkan karya agungnya.

 Tekun dan membina Kerjaya
Kejayaan meniti atas kerjaya kita. Sebab itu kita hendaklah membina kerjaya dengan mantap. Sedangkan Nabi Idris a.s. bekerja sebagai tukang jahit, Nabi Daud a.s. bekerja sebagai tukang besi dan nabi Musa a.s. bekerja sebagai penggembala kambing. Imam Abu Hanifah pula bekerja sebagai penjual kain. Anda mungkin memandang enteng terhadap kerja-kerja ini, namun kerja inilah yang telah mengukir sejarah hingga ke hari ini.

 Mengembara dan Mengambil Pengajaran
Untuk berjaya anda harus berfikiran terbuka. Anda harus banyak berjalan dan berfikir. Zubair al-Awwam merintis jalan ke negeri China dan meninggalkan segala harta di Madinah akhirnya meninggal di China. Ibnu Battuta pula mengelilingi dunia selama 30 tahun.

 Manfaatkan Masa Muda
Sebagai remaja anda harus menggunakan masa muda anda hingga ke tahap optimum seperti pesanan kumpulan Raihan dalam nasyidnya, Demi Masa. Ibn Taimiyah dilantik menjadi mufti ketika berusia 18 tahun. Muhammad bin al-Qasim menjadi panglima perang pada usia 17 tahun. Imam al-Ghazali pula menghafal al-Qur'an pada usia 6 tahun dan menjadi ulama besar pada usia 9 tahun!

 Amanah dan Jujur
Untuk menjadi orang cemerlang anda harus amanah dan jujur dalam semua aspek. Dua peristiwa yang penting berlaku pada zaman pemerintahan Sayidina Umar al-Khattab. Pertama ketika beliau bertemu dengan seorang budak pengembala kambing dan berpura-pura untuk membeli seekor kambing tanpa diketahui tuan punya kambing. Budak itu enggan melakukannya, kerana amanahnya.
Peristiwa kedua ialah ketika beliau terdengar perbualan seorang ibu yang menyuruh anak perempuannya mencampurkan air pada susu supaya dapat keuntungan yang berlipat ganda.
Si anak enggan, katanya,"Bukankah Sayidina Umar berkata jangan menipu."
Balas ibunya,"Sayidina Umar tidak ada di sini. Dia tidak tahu."
Anaknya membalas,"Kalaupun beliau tidak tahu, Allah tetap tahu."

 Bekerjasama Secara Berpasukan
Orang yang berjaya melakukan kerja secara berpasukan (team work). Semangat berjemaah mereka tinggi. Meeka memiliki semangat kekeluargaan dalam organisasi. Apabila melakukan sesuatu tugasan mereka melaksanakan semangat perbincangan (syura atau consultation) yang harmoni dan berkesan.

Kesimpulan
Orang cemerlang ibarat sebuah empangan, apabila semua anak-anak sungai dari hulu atau gunung mengalirkan air ke dalamnya, lama-kelamaan empangan itu akan penuh. Maksudnya jika kita menghiasi hidup kita dengan sifat-sifat orang cemerlang, diri kita akan menjadi cemerlang tanpa anda perlu berasa bimbang takut-takut diri anda tidak cemerlang.

Dipetik dari:
Hj. Muhammad Zakaria
Kolum Potensi * Kendali Diri (Solusi Isu 14)

Sunday, November 15, 2009

Exam mode..

Sbnrnya ana dh strt exam Isnin lps.. Dh lps 3 paper dh n tngl 2 paper lg yg blm hbs.. Lama dh x update atas kekangan2 yg x dpt ana nk elak.. msh blm t'lmbat utk ana ucapkan selamat m'jalani peperiksaan utk kwn2 ana dan sluruh warga IPGM srta kwn2 di IPT sluruh dnia..hehe.. Kpd yg dh hbs exam 2 ana nk ucapkan slmt b'cuti.. Walaupn cuti kta msti ingt, cuti bkn b'mkna kta bebas sb kta sbg sorg Muslim xkn lps dr tngungjwb yg tlh di berikan oleh Allah kpd kta.. Jd, manfaatkanlah cuti yg ada dg sebaik-baiknya.. Isi klapangan dgn mnambah ilmu agama wlau dgn apa cra skalipun.. Skiranya kta b'krja pd ms cuti trsebut, kta ttp ada ms rht utk m'baca wlau sdikit.. Apatah lg yg hnya brehat pd ms cuti..

Berterabur apa yg ana coretkan kt atas 2.. Apapn, marilah kta sma2 m'isi ms t'luang kta dgn p'kara yg b'faedah dan yg penting jgn anggap cuti 2 adalah cuti dr bljr krn bljr itu b'sifat sepanjang hayat.. Sbgaimana sabda Rasulullah s.a.w.. : ( أطلب العلم من المهد الى اللهد ) .. Sama2 kta renungkan bersama..:-)

Thursday, August 13, 2009

Program Di RPS Banun dengan Kerjasama PJU








Pada 4 Ogos yang lepas, kelas ana iaitu kelas PISMP pengajian Agama telah mengadakan satu program di sebuah sekolah orang asli iaitu di RPS Banun, Gerik, Perak. Program ini diseliakan bersama antara kelas ana dengan Projek Jaringan Utara dibawah Program Persiangan Salinantan. Tujuan program ini adalah bertujuan untuk mendedahkan guru pelatih dengan suasana pengajaran dan pembelajaran di sekolah pedalaman terutamanya untuk kaum pribumi.

Sunday, July 12, 2009

Mengulama'kan Profesional, Memprofesionalkan Ulama'...

Pengertian sebenar Ulama’ seringkali disalah tafsirkan, begitu juga dengan tanggungjawab dan peranan yang harus mereka laksanakan.


Ulama’ ialah orang yang ahli (pakar) dalam pengetahuan agama Islam manakala mengulama’kan ialah menjadikan seseorang (golongan) ulama’. (Kamus Dewan DBP : Edisi Ketiga). Masyarakat pada hari ini telah melabel ulama’ sebagai kelompok yang jumud dan tidak profesional. Mereka hanya melihat bidang tertentu seperti perubatan, kejuruteraan, guaman dan sebagainya profesional. Tetapi pada hakikatnya golongan ulama’ juga tergolong dalam golongan profesional kerana mereka mengamalkan pengetahuan, kepakaran dan kemahiran mereka dalam ilmu agama. Malah tahap keprofesionalan mereka labih terserlah kerana disamping komited dalam menyampaikan dakwah (profesional fizikal) mereka juga profesional rohani iaitu dari segi hubungan mereka dengan Allah.


Namun, malangnya Ulama’ secara terbuka ditempelak dan dipertanggungjawab tentang kemunduran umat Islam. Sedangkan kemungkaran dan penyelewengan oleh kelompok tertentu yang mendabik dada kononnya merekalah yang membawa kemajuan di dalam masyarakatlah yang menjatuhkan ketamadunan umat Islam. Mereka lupa bahawa kejatuhan sesebuah kerajaan Islam ialah apabila para ulama’ yang ikhlas dan berwibawa disingkir dan dinafikan tugasnya.


Kejatuhan Kerajaan Abbasiah adalah berpunca dari sikap angkuh pemimpin yang menolak pandangan dan nasihat ulama’. Pemerintah yang leka dengan kemewahan dunia dan terpengaruh dengan tamadun yang dicapai akhirnya negara Islam yang kuat telah berpecah dan tumbang satu demi satu. Keadaan yang sama berlaku ke atas kerajaan Islam Sepanyol. Sikap tamak, berfoya-foya dan bermegah dengan kemajuan dunia menyebabkan mereka hilang pedoman. Berdasarkan situasi hari ini yang amat menekankan kemajuan teknologi, golongan profesional dan ulama’ perlu mempunyai satu hubungan yang sangat rapat.


Sudah tiba masanya untuk kita melahirkan profesional yang ulama’ dan ulama’ yang profesional. Kita tidak mahu hanya melahirkan golongan Al-Mutafakkirin atau pemikir tetapi kita mahu pemikir yang juga menjadi ulama’ kerana ulama’ mempunyai ilmu yang amat luas yang berpandukan wahyu Allah. Sedang pemikir hanya menggunakan akal semata. Golongan sebeginilah yang menjadi angkuh setelah berjaya dalam kerjaya. Mereka meletakkan status profesional mereka sebagai tiket untuk membawa idealisme modenisasi Islam berpandukan acuan barat. Mereka seringkali memberikan tafsiran baru mengenai Islam tanpa berpandukan Al-Qur’an dan Hadis.


Seorang ulama’ itu dikatakan alim ilmu Islam sekiranya memenuhi empat syarat.

Pertama - Memiliki fardhu ain dan fardhu kifayah. Ilmu fardhu ain ialah ilmu yang wajib dipelajari setiap orang; samada alim dalam bidang sains dan teknologi. Ilmu yang dipelajari merangkumi aqidah, syariah dan akhlaq.

Kedua - Ulama’ mestilah beramal dengan ilmu yang dipelajari. Jika mereka ada ilmu tetapi tidak beramal samalah seperti pokok yang tidak berbuah dan ini mengundang dosa besar.

Ketiga - Ikhlas. Hendaklah belajar ilmu itu dengan ikhlas kerana Allah, bukan untuk tujuan lain.

Keempat - Takut kepada Allah. “Yang paling takut ialah ulama.” (maksud al-Qur’an). Ini kerana ulama’lah yang paling kenal Allah. Apabila mereka kenal Allah bermakna merekalah yang paling takut Allah berbanding orang lain. Bagaimanapun kita tidak dapat menentukan ulama’ yang benar-benar mengikut syarat-syarat yang diberi kerana hanya Allah sahaja yang tahu.


Seorang ahli profesional yang ingin meletakkan diri mereka dalam kelompok profesional Islam harus menyiapkan diri mereka dengan ilmu agama dan menguasai teknologi terkini. Sebagai contoh, juruterbang MAS iaitu Hafiz Firdaus yang berjaya menjadikan kerjayanya sebagai platform dakwah. Beliau akan mengalunkan azan dari kokpit sebaik sahaja menyedari masuk waktu solat dan membacakan doa sebelum pesawat berlepas dari landasan. Ini secara tidak langsung menyedarkan penumpang kepentingan solat dan tawakal kepada Allah dalam setiap urusan.


Disamping memerlukan profesional yang ulama’, kita juga ingin melihat ulama’ yang profesional. Memetik kata-kata ulama’ besar India, Maulana Abu Hassan Ali Al-Huseini An-Nadwi bahawa perlunya ada integrasi antara kitab lama yang soleh dan ilmu baru yang bermanfaat. Ulama’ harus menguasai isu-isu semasa dan teknologi terkini agar boleh menyampaikan dakwah dengan lebih berkesan.

Thursday, June 11, 2009

Setelah lama tak post artikel...

Assalamualaikum semua..

Lama dah ana tak update blog ana ni sejak cuti..

Hari ni ana nak update sikit..

Start cuti hari tu ana terus ke Langkawi untuk kursus JPP IPGM Zon Utara. 5 IPGM semua yang terlibat iaitu IPGM KSAH, IPGM KAMDAR, IPGM KP, IPGM KTB dan IPGM KPP. Di sana kami mendapat input2 baru dan bertukar-tukar maklumat serta ilmu dalam pengurusan JPP di IPGM masing2. Bertitik-tolak dari kursus itu juga kami telah menubuhkan jawatankuasa setiap biro untuk zon utara dimana jawatankuasa tersebut terdiri dari semua JPP ZOn Utara. Ia adalah bertujuan untuk menyelaraskan pengurusan dan menguatkan lagi organisasi JPP. Ana terlibat dalam dua organisasi iaitu biro penerbitan dan Ikatan JPP Kerohanian Zon Utara (http://badarforce313.blogspot.com) yang mana Ikatan JPP Kerohanian tidak hanya terbatas keahliannya kepada Biro Kerohanian semata-mata tetapi untuk semua penggiat2 dakwah di IPGM Zon Utara Khasnya dan IPGM seluruh Malaysia amnya.

















Seterusnya selepas balik dari kursus tersebut ana hanya menghabiskan masa bersama keluarga di rumah setelah berbulan-bulan tidak pulang dek kesibukan yang membelenggu ketika berada di institut. Beberapa hari lepas ana telah ke rumah kawan ana merangkap roomate dan YDP IPGM KSAH, Ahmad Zakir Bin Mohd Amin untuk bermesyuarat mengenai perancangan dan perjalanan aktiviti Ikatan JPP Kerohanian Zon Utara untuk semester yang mendatang ni. Ramai yang hadir namun beberapa ajk yang berada jauh di negeri lain tidak dapat menghadirkan diri atas faktor jarak. Berdasarkan perjumpaan tersebut, beberapa resolusi telah dibuat bagi menggerakkan dakwah di IPGM pada masa yang akan datang.











Kepada semua daie-daie di IPGM, marilah sama-sama kita berjuang untuk menegakkan agama Allah di bumi wakafan IPGM kita semua. Sama-samalah kita berjuang mengembalikan kegemilangan Islam di dunia ini.

Dan...

Ianya hendaklah bermula dari kta semua bakal pendidik generasi masa hadapan.

Wednesday, May 27, 2009

Anugerah Akal : Satu Anugerah

Hari ni ana dah habis exam untuk semester ni. Paper pagi tadi ialah Tilawah dan Tafsir al-Qur'an. Alhamdulillah ana dapat menjawab soalan tersebut dengan baik. Hari ni ana nak masukkan satu cerita yang boleh menjadi pengajaran kepada kita.

Sesetengah orang berfikir bahawa oleh kerana kita mempunya satu ajaran hidup yang sempurna dalam Al-Qur'an, kita boleh terus melaksanakannya dalam kehidupan kita tanpa berfikir mengenainya. Allah menganugerahkan kita akal untuk memahami dan mengamalkan keimanan kita. Inilah yang membezakan kita dengan haiwan. Kita bukanlah makhluk yang terpantas, terbesar, paling gagah, atau yang tertinggi di antara semua makhluk. tetapi kita adalah yang paling bijak di antara makhluk!

Pada suatu masa terdapat seekor singa di hutan. Singa itu memberitahu anaknya; "Engkau tidak perlu takut kepada binatang lain, tetapi awasi diri engkau daripada satu makhluk yang berkaki dua, iaitu manusia, dia ada akal." Pada suatu hari anak singa itu bertemu dengan seorang manusia dan menawannya. Anak singa itu hampir membunuhnya. Anak singa itu teringat akan nasihat bapanya dan bertanya kepada manusia itu, "Bapa telah memberikan amaran kepada aku tentang engkau. Bolehkah engkau tunjukkan akal engkau?" Manusia itupun berkata; "Ya, tetapi aku tinggalkannya di rumah. Kalau engkau lepaskan aku, aku akan balik ke rumah untuk mendapatkannya." Anak singa itupun setuju. Manusia itupun berkata;"Tetapi mungkin engkau akan pergi dari sini dan aku tidak akan menjumpai engkau. Biar aku tambat engkau pada sebatang pokok supaya engkau tidak meninggalkan tempat ini." Anak singa itu bersetuju. Apabila manusia itu menambat anak singa tersebut, dia terus mendapatkan kayu dan memukul anak singa yang malang itu sehingga mati. Dalam saat-saat yang terakhir, anak singa itu mengingati nasihat bapanya;"Berjaga-jagalah dengan manusia, dia ada akal.

Malang sekali kita tidak menggunakan akal kita dengan sepenuhnya. Dalam sesetengah keadaan, kita membiarkannya dalam keadaan baru. Kita tiak pernah menggunakannya! Secara serius, kajian saintifik menunjukkan bahawa manusia biasa jarang-jarang menggunakan seluruh potensi kekuatan akalnya lebih daripada 5-10%.

p/s : Marilah kita bangunkan akal kita semampu yang mungkin. Akal mempunyai kekuatan yang tidak terbatas berbanding kekuatan fizikal yang kita ada.

Sunday, May 24, 2009

Antara Teori Dan Amali

Terdapat seorang sheikh yang berpengalaman melatih kader-kader dakwah- enam bulan secara teori dan tiga bulan secara amali. Seorang pelajar yang telah tamat peringkat teori berasa yakin dapat melaksanakan sesi amali secara bersendirian. Sheikh tadi menasihatkannya, tetapi ia tidak mendengar. pelajar itu pun berangkat ke sebuah kampung yang terpencil untuk melaksanakan dakwah secara praktik. Pada hari Jumaat yang pertama, seorang imam palsu memberikan khutbah yang penuh dengan pembohongan terhadap Allah dan Rasul-Nya. pelajar tersebut berdiri dan berteriak, "Imam ini seorang pembohong. Allah dan Rasul-Nya tidak pernah menyatakan apa yang telah disampaikannya tadi." Imam itu menjawab,"pemuda ini seorang kafir dan perlu dihukum." Sidang Jumaat memukul pelajar tersebut sehingga parah. pelajar itu pun kembali menemui sheikhnya dalam keadaan cedera yang parah. Sheikhnya pun berkata,"Biar aku tunjukkan kepada kamu contoh dakwah yang baik." Pada hari Jumaat yang berikutnya, mereka pergi ke masjid yang sama. Imam tersebut menyampaikan isi khutbah yang sama seperti sebelumnya. Setelah mendengar khutbah, sheikh itu berdiri dan berkata,"Imam kamu seorang daripada ahli syurga. Sesiapa yang mendapatkan walau sehelai rambut atau janggutnya akan masuk syurga." Pada ketika itu juga, ahli jemaah mengerumuni imam itu dan mencabut sehelai demi sehelai janggutnya sehingga licin dan dia ditinggalkan dalam keadaan yang berlumuran darah. Kemudian sheikh dan pelajar itu berbisik kepada imam,"Adakah kamu akan berhenti berbohong tentang Allah dan Rasul-Nya (S.A.W.) dan mengubah diri kamu? Atau kamu inginkan pembalasan yang lain?" Imam itu mengakui akan kesalahannya dan bertaubat. Pelajar tadi menyedari akan kesalahannya dan berjanji dengan sheikhnya akan mengikuti sesi amali selama tiga bulan.

Di sana terdapat perbezaan yang jauh antara teori dan praktik.

Tuesday, May 19, 2009

Anak Kita dan Anak Mereka

Assalamualaikum...

Hari ni ana selesai menduduki 1 kertas ujian final untuk semester ni. Subjek hari ni ialah Pengurusan Bilik Darjah dan Tingkah Laku. Apa kaitan tajuk yang ana post dgn subjek ana hari ni? Ada kaitannya...

Paper yang ana duduki hari ni membincangkan bagaimana guru ingin mengawal kelas dan menjadikan suasana pembelajaran menjadi kondusif serta kawalan disiplin bilik darjah. Subjek ni juga membincangkan mengenai murid-murid yang berkeperluan khas. Tapi, yang ana nak tekankan dalam artikel hari ni ialah mengenai disiplin murid-murid.

Baik...

Satu persoalan untuk di jawab...

Anak-anak anda, adik-adik anda ataupun anak-anak murid anda malas belajar? Ponteng sekolah? Suka ponteng kelas?

Berikut adalah paparan-paparan cerita anak-anak Palestin yang boleh diceritakan kepada mereka untuk dijadikan pengajaran...

Mahmoud (9 tahun) dari Beit Hanun, Gaza.

Sekolah dan kanak-kanak turut menjadi mangsa keganasan rejim Zionis dengan alasan mencari pejuang-pejuang Palestin. Sekoalh Mahmoud turut dirobohkan.

Jentolak dan kereta perisai yang meruntuhkan bangunan sekolah turut melepaskan tembakan ke arah sekolah dan kanak-kanak tersebut. Mujurlah kanak-kanak sekolah dikeluarkan terlebih dahulu dari bangunan sekolah.

Persoalannya, sekolah telah hancur dan musnah, bagaimana Mahmoud dan rakan-rakannya akan bersekolah? Jika mereka ingin bersekolah, ke mana mereka hendak pergi?

Sedangkan sekolah UNRWA yang terletak lebih kurang 20km daripada kawasan kem pelarian mereka. Adakah ini bermakna Mahmoud dan rakan-rakan terpaksa melupakan masa depan mereka?

Masalah ini ditangani apabila semua guru sanggup menjadikan rumah mereka sebagai kelas mengikuti mata pelajaran yang di ajar oleh guru tersebut. Contohnya, jika mereka mahu belajar Matematik, rumah cikgu Sa'id merupakan tempat untuk belajar Matematik. Jika mereka hendak belajar bahasa Inggeris, mereka akan ke rumah cikgu Hannan.

Bagi Mahmoud, suasana belajar seumpama ini amat menyeronokkan. Rejim Zionis mungkin dapat meruntuhkan bangunan-bangunan sekolah tetapi tidak dapat meruntuhkan semangat perjuangan dalam jiwa mereka. Pesanan pengetua sekoalh mereka:

"Kita sudah hilang segala-galanya, rumah, sekolah, kampung, tanah air dan juga harta. Tetapi kita tidak sekali-kali akan hilang jiwa dan akal. Mereka boleh menghancurkan segala-galanya, tetapi semangat jihad dan juga semangat juang dalam diri kamu semua sekali-kali tidak akan dapat mereka rampas. Lengkapkan diri kamu dengan pelajaran, insyaALLAH masa depan yang lebih cerah akan menjadi milik kita... itulah janji ALLAH!"


Hind (12 tahun) Tebing Barat.

Hind seorang murid sekolah rendah di Tebing Barat. Dia tidak terlepas dari kesulitan hidup disebabkan oleh tembok pemisah yang dibina. Sekolahnya terletak di sebelah dalam tembok, manakala rumahnya di luar kawasan tembok.

Sebelum tembok ini dibina, Hind akan berjalan kaki selama 20 minit untuk sampai ke sekolah bersama-sama rakan-rakannya. Dia tidak pernah lambat ke sekolah. Begitui juga dengan rakan-rakannya.

Itu adalah tabiat murid-murid Palestin. Kelewatan masuk kelas merupakan suatu yang mengaibkan bagi diri mereka dan keluarga mereka. Cikgu Jumanah pernah mengatakan:

"Jika kamu sengaja lambat hadir ke kelas, bermakna kamu melambatkan usaha kemerdekaan negara kita!"

Pernah ada rakan Hind yang terlambat ke kelas kerana ditahan dan diperiksa oleh tentera Zionis di jalan raya. Dia telah menangis sepanjang hari walaupun tidak dimarahi oleh guru kelasnya. Apabila dipujuk oleh gurunya, dia mengatakan:

"Saya tidak mahu kerana saya lambat, rakyat Palestin akan terus hidup merana dan dibunuh oleh Yahudi."

Mujurlah guru-guru di sekolah memahami dan ikhlas dalam mendidik anak-anak bangsa mereka. Bagi murid-murid yang lambat, guru-guru akan mengadakan kelas tambahan secara percuma.

Walaupun tanpa sebarang bayaran, mereka tetap gigih demi mendidik anak-anak mereka yang dahagakan ilmu dan bimbingan. Walaupun dihalang oleh tembok pemisah yang besar, anak-anak Palestin tidak pernah putus asa untuk pergi ke sekolah untuk menimba ilmu. Adakah anak-anak kita ataupun kita sendiri mempunyai semangat segigih ini? Tepuk dada tanyalah iman masing-masing.


Lou ay (10 tahun) Refah, Gaza.

Lou ay masih ingat, siren yang dipasang oleh para tentera rejim untuk memberi amaran kepada para penduduk agar meninggalkan rumah masing-masing. Ketika itu, Lou ay sedang menyiapkan kerja rumahnya. Ibunya sedang menyusukan adiknya. Manakala bapa Lou ay tiada di rumah menziarahi jiran mereka, Abu Samir yang cedera ditembak oleh tentera rejim.

Tentera rejim menendang pintu rumahnya dan menjerit menyuruh mereka keluar. Maki hamun dalam bahasa Arab dan bahasa Ibrani (Hebrew) menyulami jerkahan mereka. Lou ay, ibu dan adiknya bergegas meninggalkan rumah mereka dengan mencapai apa sahaja yang sempat.

Lou ay masih teringat ibunya menjerit, "beg sekolah kamu!, beg sekolah kamu!" Ketika mereka bergegas keluar sambil but salah seorang tentera Zionis hinggap di punggungnya dan juga di pinggang ibunya yang hampir-hampir membuatkan ibunya tersungkur.

Pada malam itu, dengan mata kepalanya sendiri, Lou ay menyaksikan rumahnya dan rumah-rumah jirannya yang lain telah dirobohkan. Sesekali terdengar bunyi tembakan di jalan besar. Komando al-Qassam yang datang untuk menghalau tentera-tentera Zionis.

Bunyi tembakan itu hanya seketika dan tidak dapat menghalang rumahnya daripada dirobohkan. malam itu, mereka terpaksa bermalam di jalan raya. Suasana sejuk menjadikan mereka kaku.

Mujurlah badan-badan kebajikan rakyat Palestin datang membantu mereka dan menempatkan mereka di pejabat-pejabat dan juga markaz-markaz mereka. Kata ibu Lou ay:

"Mereka ini orang HAMAS, sebab itu mereka membantu kita!"

Lou ay tahu. HAMAS berada dalam hati setiap anak-anak Palestin. Mereka adalah penyelamat dan juga pelindung sebenar rakyat Palestin. HAMAS banyak membantu rakyat Palestin. Mendidik anak-anak Palestin sepertinya. Yang lebih penting, dapat membunuh dan menentang para tentera rejim Zionis yang kejam dan zalim.

keesokan harinya, ayah dan ibu membawa Lou ay pergi ke puing-puing rumah mereka. Pesan ayah, urusan rumah serahkan kepada ayah. Nanti kita bina yang baru. Tetapi kamu cari beg sekolah dan buku-buku kamu. Hari ini kamu akan ke sekolah!

Di sekolah, tidak seorang pun jiran-jirannya yang ponteng. Semua hadir bersama-sama lou ay demi memperlengkapkan diri mereka dengan ilmu. Pesan Syeikh Maad, imam di salah sebuah masjid di kem mereka:

"Rumah di dunia ini boleh dirobohjan, tetapi rumah kita di syurga kekal selama-lamanya. Oleh itu, carilah jalan untuk membina rumah di syurga, bermula dengan mencari ilmu!"


*
Cerita ini ana ambik dari buku Peluru Lawan Batu: Konflik Palestin & Israel karangan Ustaz Maszlee Malik.

Berdasarkan cerita yang telah di kemukakan di atas, ana rasa banyak pengajaran yang kita perolehi. Bukan sahaja oleh murid-murid tetapi juga oleh ibubapa, guru dan masyarakat. Di negara kita kenapa masih ramai yang lena? Ini kerana disebabkan kita berada dalam zon yang selesa. Oleh itu, marilah sama-sama kita berubah kepada lebih baik. Kitalah penentu kejayaan dan kegemilangan masa depan Islam. Kita jugalah pencorak masa hadapan anak-anak kita.

Save Palestin!!!

Saturday, May 16, 2009

Happy Teachers Day



Selamat hari Guru di ucapkan kepada semua warga pendidik, terutamanya guru-guru yang telah mengajar ana sejak dari PASTI lagi. Pasti Maahad Darul Qur'an Slow Machang, Sek. Keb. Tanjong Chenok, Sek. Men. Ugama (Arab) Pasir Mas yang kini dikenali dengan Maahad Muhammadi Pasir Mas, Sek. Men. Ugama (Arab) Yaakubiah yang juga bertukar nama kepada Maahad Yaakubiah. Jasa cikgu-cikgu, ustaz-ustaz dan ustazah-ustazah semua sentiasa dalam kenangan. Jasa anda semua amat besar dan tidak mampu untuk di balas oleh kami anak murid anda semua.

TERIMA KASIH CIKGU
THANKS YOU TEACHERS
شكرا لكم

Ana juga ingin memohon maaf sekiranya ada silap dan salah yang telah ana lakukan sepanjang ana belajar. Disini, nama guru-guru tidak dapat disenaraikan kerana terlalu ramai guru yang telah mengajar ana. Akan tetapi dua orang guru yang akan ana pahatkan nama mereka disini. Mereka ialah Umi ana (Noor Aini Bt. Yaacob) dan Abah ana (Abdul Kodi Bin Awang). Mereka adalah guru pertama ana sebelum ana mendapat guru yang seterusnya kerana sejak ana berada dalam kandungan umi ana lagi mereka telah menjadi guru ana.

شكرا لكما يا أمي وابي
TERIMA KASIH UMMI WA ABI
THANKS YOU UMMI AND ABAH
==================================================================

GURU PEMBINA NEGARA BANGSA


Bersedia melangkah megah
Walaupun sukar baktiku curah
Demi mu ibu pertiwi
Sumpah ku lafaz janji kukota

Berikrar eratkan bangsa
Kukuhkan cinta kepada Negara
Berjasa terus berjasa
Menyebarkan ilmu tiada batasnya

Guru Pembina Negara Bangsa
Gagah perjuangkan visi Negara
Bangunkan jiwa yang pelbagai rupa
Demi agama dan nusa tercinta

Guru Pembina Negara Bangsa
Tetap Unggul senadakan suara
Sehaluan menggapai matlamatnya
Cemerlang dan gemilangkan Malaysia

Pencipta Lagu : Khairulrizam bin Khalid
Pencipta Lirik : Ili Nurbahirah bt Baharudin
Pengubah Muzik : Marzuki bin Tambi

Wednesday, May 13, 2009

Layar Cinta

Ya Hannan,,,
Denai hijau, langit biru, gunung kelabu...

Bukanlah sekadar bingkai satu pemandangan
Yang menyuratkan sebuah keindahan...
Tapi potret hakiki menyerlahkan kebenaran
Cermin alam yang memantulkan keindahan Tuhan

Denai, langit dan gunung
Adalah satu cubitan kasih pada satu kealpaan
Pada limpahan nikmat selaut indah
Ke mana tumpahnya munajat seraut sembah?
Sekian lama melihat alam penuh teratur
Mengapa hatimu masih lupa untuk bersyukur?

Denai, langit dan gunung
Adalah pantulan lambang biasan tamsilan
Gunung... bagai pasak teguh kemurnian iman
langit... hamparan saujana kelapangan Islam
Denai... lembah subur kelembutan ihsan
Adalah citra di kanvas hati yang dihiasi...
Rasa kehambaan

Ketika sunyi diri berwacanalah diri di dalam diri
Ya Hannan, teguhkanlah imanku
Seteguh gunung itu...
Ya Mannan, lapangkanlah Islamku
Selapang langit biru...
Dan lembutkanlah ihsanku
Selembut rumput di denai itu
Nescaya bertamulah diri yang hakiki
Di kamar hati cinta Ilahi

Ya Allah...
Tika gagah-Mu bercermin alam sepenuh
Terasa lemahku mencengkam diri seluruh
Dan kolam hatiku tak kan selamanya keruh
Insya-Allah

Tuesday, May 12, 2009

Basyir dan Nazir

Setiap Rasul diutuskan sebagai pembawa berita gembira (basyir) dan pemberi peringatan (nazir) kepada manusia. Menyampaikan berita gembira kepada mereka yang taat melakukan ibadat kepada Allah Taala dan memberi peringatan dan amaran kepada mereka yang melanggar perintah-Nya. Ini jelas diterangkan oleh Allah Taala dalam al-Quran: Maksudnya: Sesungguhnya Kami mengutusmu dengan (agama) yang benar, sebagai pembawa berita gembira (kepada orang-orang yang beriman) dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar); dan tidak ada, sesuatu umat pun melainkan telah ada dalam kalangannya dahulu seorang Rasul pemberi ingatan dan amaran. (Surah Fathir: 24).

Sebagai utusan Allah, para Rasul mempunyai kebijaksanaan dalam berdakwah bagi menangani karenah masyarakat pada zaman itu. Mereka bijak menggunakan sama ada pendekatan 'basyir' atau 'nazir' terhadap orang yang mereka seru.

Kepada mereka yang terlalu 'khauf' (takut) dan kuat melakukan ibadat kerana takut kepada azab Allah, para Rasul memberikan berita gembira tentang syurga dan keseronokannya. Dengan cara ini, mereka berasa tenang, gembira dan tidak terlalu khauf tentang azab Allah. Para rasul adalah pakar motivasi dan kaunselor yang memberikan ketenangan jiwa kepada umatnya.

Sebaliknya kepada mereka yang ingkar dan kufur kepada Allah, para Rasul memilih pendekatan 'nazir' iaitu menyampaikan berita seksa dan pembalasan azab yang amat pedih di neraka. Dengan cara ini, mereka akan mengetahui kesalahan yang mereka lakukan dan betapa pedihnya azab Allah jika amalan itu diteruskan. Akibatnya, mereka akan bertaubat dan mula mentaati Allah.

Sungguhpun begitu adakalanya Rasul menggunakan kombinasi 'basyir' dan 'nazir' bergantung kepada keadaan orang yang didakwah. Demikianlah contoh teladan yang ditunjukkan oleh para rasul ketika berdakwah. Mereka yang terlalu 'khauf' digembirakan dengan berita syurga dan yang terlalu 'rajak' diancam dengan berita neraka. Begitu juga tentang hukuman bagi pesalah dirujuk kepada Al-Quran tanpa memilih kasih. Masyarakat sekarang dilanda pelbagai penyakit sosial. Mereka perlu diberi rawatan dengan resepi perubatan yang mujarab sesuai dengan penyakit yang dihidapi. Kenapa penyakit masyarakat semakin menjadi walaupun pelbagai pendidikan dan program diperkenalkan. Jawapannya adalah kerana penyakit lain, ubat yang diberi pula lain. Iaitu, lain sakit lain pula ubatnya. Untuk mengubati penyakit, kita perlu mengetahui puncanya. Punca penyakit masyarakat masa kini ialah hilangnya perasaan khauf dan meluasnya perasaan rajak di dalam jiwa.

Berdasarkan huraian di atas, penyampaian bagaimanakah agaknya yang sesuai untuk golongan tersebut? Jawapan anda tepat iaitu dengan memberikan ancaman dan amaran tentang balasan dan azab yang bakal diterima di neraka. Pendekatan 'basyir' tidak sesuai bagi mereka. Dalam Islam tiada kompromi tentang hukuman dan hudud. Hukum-hakam dalam Islam tidak berubah walaupun masa telah berubah. Hukuman berzina, mencuri misalnya tetap sama seperti hukuman yang dikenakan semasa zaman Nabi. Agama Islam telah lengkap dan tak perlu diubahsuai atau ditokok tambah. Demikian besarnya peranan yang perlu dimainkan untuk mengatasi masalah sosial yang semakin meruncing dewasa ini. Sekiranya pelaksanaan hukuman hudud diperkenalkan selama ini, sudah tentu masalah sosial seperti yang berlaku sekarang ini tidak akan berlaku.

Thursday, May 7, 2009

Luahan Hati Seorang Muslimah

Oleh: Angle Eyes

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh...

Entah angin apa yang membuai hari ini, membuatkan aku begitu berani mencoretkan sesuatu untuk dirimu yang tidak pernah aku kenali. Aku sebenarnya tidak pernah berniat untuk memperkenalkan diriku kepada sesiapa. Apatah lagi meluahkan sesuatu yang hanya aku khususkan buatmu sebelum tiba masanya. Kehadiran seorang lelaki yang menuntut sesuatu yang ku jaga rapi selama ini semata-mata buatmu, itulah hati dan cintaku, membuatkan aku tersedar dari lenaku yang panjang.

Ibu telah mendidikku semenjak kecil agar menjaga maruah dan mahkota diriku kerana ALLAH telah menetapkannya untukmu suatu hari nanti. Kata ibu, tanggungjawab ibu-bapa terhadap anak perempuan ialah menjaga dan mendidiknya sehingga seorang lelaki mengambil-alih tanggungjawab itu dari mereka. Jadi, kau telah wujud dalam diriku sejak dulu lagi. Sepanjang umurku ini, aku menutup pintu hatiku daripada mana-mana lelaki kerana aku tidak mahu membelakangimu.

Aku menghalang diriku daripada mengenali mana-mana lelaki kerana aku tidak mahu mengenali lelaki lain selainmu, apatah lagi memahami mereka. Kerana itulah aku sedaya kudrat yang lemah ini membatasi pergaulanku dengan bukan mahramku. Aku lebih suka berada di rumah kerana rumah itu tempat terbaik buat seorang perempuan. Aku sering berasa tidak selamat diperhatikan lelaki. Bukanlah aku bersangka buruk terhadap kaummu, tetapi lebih baik aku berwaspada kerana contoh banyak didepan mata.

Aku palingkan wajahku daripada lelaki yang asyik memerhati diriku atau cuba menegurku. Aku sedaya mungkin melarikan pandanganku daripada lelaki ajnabi kerana Sayyidah Aisyah r.a pernah berpesan, "Sebaik-baik wanita ialah yang tidak memandang dan tidak dipandang oleh lelaki." Aku tidak ingin dipandang cantik oleh lelaki. Biarlah aku hanya cantik di matamu. Apalah gunanya aku menjadi idaman ramai lelaki sedangkan aku hanya boleh menjadi milikmu seorang.
Aku tidak berasa bangga menjadi rebutan lelaki bahkan aku berasa terhina diperlakukan begitu seolah-olah aku ini barang yang boleh dimiliki sesuka hati.

Aku juga tidak mahu menjadi punca kejatuhan seorang lelaki yang dikecewakan lantaran terlalu mengharapkan sesuatu yang tidak dapat aku berikan. Bagaimana akan ku jawab di hadapan ALLAH kelak andai disoal? Kalau aku tidak ingin engkau memandang perempuan lain, aku dululah yang perlu menundukkan pandanganku. Aku harus memperbaiki dan menhias peribadiku kerana itulah yang dituntut oleh ALLAH. Kalau aku ingin lelaki yang baik menjadi suamiku, aku juga perlu menjadi perempuan yang baik. Bukankah ALLAH telah menjanjikan perempuan yang baik itu untuk lelaki yang baik?

Tidak ku nafikan sebagai remaja, aku memiliki perasaan untuk menyangi dan disayangi. Namun setiap kali perasaan itu datang, setiap kali itulah aku mengingatkan diriku bahawa aku perlu menjaga perasaan itu kerana ia semata-mata untukmu. ALLAH telah memuliakan seorang lelaki yang bakal menjadi suamiku untuk menerima hati dan perasaanku yang suci. Bukan hati yang menjadi lebihan lelaki lain. Engkau berhak mendapat kasih yang tulen.

Diriku yang sememangnya lemah ini telah diuji oleh ALLAH apabila seorang lelaki ingin berkenalan denganku. Aku dengan tegas menolak, berbagai-bagai dalil aku kemukakan, tetapi dia tetap tidak berputus asa. Aku terasa seolah-olah kehidupanku yang tenang sebelum ini telah dirampas dariku. Aku tertanya-tanya adakah aku berada di tebing kebinasaan? Aku beristighfar memohon keampunan-Nya. Aku juga berdoa agar Pemilik Segala Rasa Cinta melindungi diriku dari kejahatan.

Kehadirannya membuat aku banyak memikirkan tentang dirimu. Kau ku rasakan seolah-olah wujud bersamaku. Di mana sahaja aku berada, akal sedarku membuat perhitungan denganmu. Aku tahu lelaki yang melamarku itu bukan dirimu. Malah aku yakin pada gerak hatiku yang mengatakan lelaki itu bukan teman hidupku kelak. Aku bukanlah seorang gadis yang cerewet dalam memilih pasangan hidup. Siapalah diriku untuk memilih permata sedangkan aku hanyalah sebutir pasir yang wujud di mana-mana. Tetapi aku juga punyai keinginan seperti wanita solehah yang lain, dilamar lelaki yang bakal dinobat sebagai ahli syurga, memimpinku ke arah tuju yang satu. Tidak perlu kau miliki wajah setampan Nabi Yusuf a.s, juga harta seluas perbendaharaan Nabi Sulaiman a.s, atau kekuasaan seluas kerajaan Nabi Muhammad s.a.w, yang mampu mendebarkan hati jutaan gadis untuk membuat aku terpikat. Andainya kaulah jodohku yang tertulis di Luh Mahfuz, ALLAH pasti mencampakkan rasa kasih dalam hatiku jua hatimu. Itu janji ALLAH. Akan tetapi, selagi kita tidak diikat dengan ikatan yang sah, selagi itu jangan dibazirkan perasaan itu kerana kita masih tidak punya hak untuk berbuat begitu. juga jangan melampaui batasan yang telah ALLAH tetapkan. Aku takut perlakuan itu akan memberi kesan yang tidak baik dalam kehidupan kita kelak.

Permintaanku tidak banyak. Cukuplah engkau menyerahkan seluruh dirimu pada mencari redha Ilahi. Aku akan berasa amat bertuah andai dapat menjadi tiang seri ataupun sandaran perjuanganmu. Bahkan aku amat bersyukur pada Ilahi kiranya akulah yang ditakdirkan meniup semangat juangmu, menghulurkan tanganku untukmu berpaut sewaktu rebah atau tersungkur di medan yang dijanjikan ALLAH dengan kemenangan atau syahid itu. Akan ku kesat darah dari lukamu dengan tanganku sendiri. Itu impianku.

Aku pasti berendam air mata darah, andainya engkau menyerahkan seluruh cintamu padaku. Cukuplah kau mencintai ALLAH dengan sepenuh hatimu kerana dengan mencintai ALLAH, kau akan mencintaiku kerana-Nya. Cinta itu lebih abadi dari cinta biasa. Moga cinta itu juga yang akan mempertemukan kita kembali di syurga...

Wassalam...


Artikel ini ana tujukan kepada saudara seagama ana yang bergelar Muslimah. Moga-moga antunna semua yang sedang tercari-cari cinta sejati dapat mengambil iktibar dari artikel yang tidak seberapa ini kalau dibandingkan dengan ilmu ALLAH yang tak terhitung banyaknya.

Juga kepada saudaraku yang lelaki, kalau antum ingin mencari suri hidup antum seorang Muslimah yang Mukminah, ia hendaklah terlebih dahulu dimulai dari diri antum semua.

Bagaimana???

Jadilah seorang yang soleh barulah antum akan mendapat isteri yang solehah.
Jangan harapkan isteri solehah sedangkan diri kita jauh sekali dari ciri-ciri lelaki soleh.

InsyaALLAH...

Sunday, March 15, 2009

Balik Cuti


Assalamualaikum...

Hari ni, aku akan balik bercuti seperti kawan-kawan yang lain..Tapi, walaupun nama cuti, tanggungjawab sebagai pelatih tetap perlu dilaksanakan. Tugasan yang diberikan perlu dilaksanakan. Hari ni dapat 1 lagi tugasan. Ustaz minta alamat email aku untuk menghantar tugasan untuk Madah PQE. Ini bermakna bertambah 1 lg tugasan. Namun, aku tetap gembira untuk berjumpa dengan keluarga tersayang.

Pukul 10.15 nanti aku akan bertolak pulang ke Kelantan. Aku tak tahu dapat update atau tidak blog aku ni. Kalau dapat insyaAllah aku akan masukkan input-input yang berguna untuk tatapan semua.

Ok la, aku nak kemaskan barang ni. Wassalam.

Friday, March 13, 2009

Cuti


Assalamualaikum...


Hari ni IPGM Kampus Sultan Abdul Halim menjadi sunyi kerana telah bermulanya cuti. Semua telah pulang bercuti di kampung masing-masing. Tapi, aku masih di sini, masih belum pulang ditemani oleh kesunyian. Aku balik lewat kerana malam ni masih berbaki satu hari untukmencukupkan sebulan kelas tuisyen yang aku ajar. Kelas Bahasa Arab dan pelajar aku adalah seorang murid tahun 2 berbangsa Cina. Murid aku adalah anak kepada pensyarah di tempat aku menuntut ini. Nama di Ng Qin Shen. Setakat ni aku baru ajar asas-asas sahaja. Mengenal huruf-huruf hijaiyyah. Ramai yang tertanya-tanya ada juga budak cina yang nak belajar Bahasa Arab ye. Memang ada. Bagi yang tak biasa dengar memang akan rasa pelik. Tapi bagi yang dah biasa memang diaorang tak rasa pelik.

Aku memang bersemangat nak ajar anak murid aku tu. Susah tu memang susah. Tapi aku merasa bertanggungjawab untuk mengajar dia jadi aku tetap berusaha untuk mengajar dia sampai pandai.

Dengan cara ni juga aku dapat meningkatkan kemahiran aku untuk mengajar nanti. Jadi, tidak rugi aku korbankan cuti beberapa hari untuk mendapat pengalaman yang akan aku guna untuk hari-hari yang seterusnya.

Malam ni cukuplah 8 kali untuk sebulan aku mengajar. Aku berjaya mengajar kesemua huruf hijaiyyah kepada muridku itu. Dia juga dapat mengenal kesemua huruf tersebut dengan baik. Tapi, bukan setakat ini sahaja usaha aku. Masih panjang lagi perjuangan yang perlu di lakukan. Banyak lagi yang perlu di sambung. Kelas itu akan disambung lagi 27 Mac ni. Untuk matlamat jangka panjang, aku ingin cuba berdakwah kepada mereka. Mungkin ini jalan hidayah yang Allah buka untuk mereka dan jalan dakwah yang Allah buka untuk aku.

Semoga berjaya, InsyaAllah..



Ng Qin Shen

Thursday, March 12, 2009

Pengalaman?



Hari hari terakhir dia melaksanakan tugasan PBS di Sekolah Kebangsaan Tunku Ismail, Sungai Petani Kedah. Tapi kenapa sudah berakhir? Bukan ke perlu ada awalnya? Ini kerana blog ini belum wujud semasa dia memulakan tugasan PBS. Baik, kita teruskan. Walaupun hari ni adalah hari akhir, namun dia telah diberi tugas yang amat berat. Apakah tugas tu? Ceramah. Tajuk? Maulidur Rasul. Mungkin biasa bagi sesetengah orang. tapi, bagi dia ini adalah tugas yang amat mencabar sekali. Perlu berhadapan dengan dua kelompok audiens. Siapa mereka? Golongan guru dan satu lagi ialah pelajar. Jadi, apa yang mencabar di sini? Dia perlu menyesuaikan cara penyampaian untuk murid-murid sekolah rendah. Untuk kawan-kawan dia mungkin dia boleh memberi penyampaian yang sedikit elok. Dia ulangi,hanya sedikit elok. Kenapa? Sebab dia belum pernah memberi penyampaian awam, apatah lagi untuk dua golongan yang berbeza dalam satu masa.
Pada awalnya dia menolak kerana merasakan diri tidak layak. Tapi akhirnya dia menerima juga tanggungjawab tersebut. Kenapa? Kerana dia ingin belajar.
Yang penting di sini, dia bukan ingin menceritakan mengenai peribadi dia kerana pada awal-awal artikel lagi dia sudah menyatakan bukan nama yang dia ingin tonjolkan tapi ilmu yang ingin di kongsi bersama. Jadi , fokus utama yang dia ingin hidangkan di sini ialah, pengalaman. Melalui pengalaman inilah yang akan dia bawa ke dalam masyarakat apabila dia terjun ke dalam bidang pekerjaan nanti. hari ini, dia telah di dedahkan dengan cara bagaimana untuk menarik minat murid apabila memberi ceramah. Bukan hanya memberi maklumat, tetapi penceramah juga perlu pandai menarik minat audiens terutama kanak-kanak. Apa guna banyak maklumat yang di beri tetapi tidak sampai kepada pendengar kerana pendengar tidak memberi perhatian? Jawapan ada pada kita semua.
Terima kasih diucapkan kepada guru besar, pihak pentadbiran, ustaz-ustaz,ustazah-ustazah serta guru-guru SK Tunku Ismail yang telah banyak memberi tunjuk ajar kepada dia sepanjang dia berada di sekolah ini. Banyak pengalaman yang telah dia dapat walaupun hanya sekejap berada di sekolah.

Tinta Perkenalan

Ini bicara pertama saya. Bicara pengenalan diri. Tetapi jangan tersalah sangka tersilap duga, bukan diri saya yang mahu saya perkenalkan! Tidak mengapalah jika hidup di dunia sementara, nama saya tidak masyhur seantero dunia. Asal punya jasa buat bekalan bertemu yang Maha Esa, itu sudah berpada.

Lewat blog ini, saya ingin menukilkan sedikit ilmu buat tatapan. Bukankah Muhammad SAW merupakan rahmat buat seluruh umat sepanjang zaman? Justeru, ajaran yang disampaikan baginda itulah yang patut kita amalkan.

Sesuaikah ajaran Muhammad SAW untuk semua insan? Mengapa mahu menafikan? Kerana golongan yang mendalami kitab suci agama masing-masing pasti memperakukan. Dalam Injil Kristian, Muhammad SAW dikenali sebagai Paracletos, dalam Vedas dan Purana Hindu, baginda dikenali dengan Narashangsa, Antim Rishi, Kalki Avatar dan Ahamidi, dan dalam kitab agama Budha pula, gelaran baginda ialah Maitreya.

Anda pasti sudah mengetahui, Tinta itu apakah erti. Justeru, tidak perlulah saya menghuraikannya dengan penuh rinci. Al-Quran ada menyebutnya yang bererti:

Katakanlah (Wahai Muhammad): "Kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta untuk menulis kalimah-kalimah Tuhanku, sudah tentu akan habis kering lautan itu sebelum habis kalimah-kalimah Tuhanku. Walaupun Kami tambahkan lagi dengan lautan yang sebanding dengannya, sebagai bantuan". (Al-Kahfi: 109)

Dunia akhir zaman kini menghadapi seribu satu macam tribulasi. Islam yang suatu ketika dahulu datang bersama Muhammad SAW dianggap dagang, kini berulang kembali. Ajaran Islam sudah tidak diamalkan lagi, manakala penegaknya sering diherdik dan dimaki, ditambah pihak musuh pula (Barat) sibuk mempromosi; ’Islam terrorist’ atau disebut di dalam bahasa Arab sebagai ’irhabi.’

Untuk mengembalikan kegemilangan itu, marilah kita berkongsi ilmu dan pengalaman. Saya masih baru dalam segala bidang. Tunjuk ajar anda amat saya harapkan. Semoga Islam gemilang di dunia dan sudah pasti Islamlah satu-satunya agama disisi Allah sebagaimana Firman Allah Taala yag bermaksud:

" Sesungguhnya agama di sisi Allah ialah Islam. Tidak berselisih orang-orang yang telah diberi Kitab kecuali setelah mereka memperolehi ilmu, kerana kedengkian diantara mereka. Barangsiapa ingkar terhadap ayat-ayat Allah, maka sesungguhnya, Allah sangat cepat perhitungan-Nya."

Andai anda punya pendapat mahu diutarakan, maka saya amat mengalu-alukan. Bak kata pepatah Melayu zaman berzaman, ”kecil tapak tangan, nyiru kami tadahkan.” Bukankah saya,anda dan kita semua bakal pencorak anak bangsa pada masa hadapan? Ilmu banyak tersemat di dada terpendam di minda, inilah gelanggang untuk dizahirkan.

Sekali lagi ingin saya nyatakan, saya adalah orang baru, seperti bayi yang tidak tahu apa-apa. Anda semua bagaikan guru dan penilai terhadap apa yang saya coretkan. Semoga blog ini akan menjadi blog yang ilmiah dan dapat memberi manfaat kepada semua.

Wallahua'lam...