إبداء ببسم الله

IP

Friday, December 11, 2009

SIFAT ORANG CEMERLANG

Semua ibu bapa mahukan anak-anak cemerlang dalam semua aspek kehidupan. Mereka mahu anak cemerlang dalam pelajaran, kalau boleh menggondol semua atau straight A dalam peperiksaan.

Mereka juga mahu anak mereka cemerlang dalam akhlak, sahsiah dan perhubungan sesama manusia. Kalau boleh, mereka juga mahu anak cemerlang dalam sukan, persatuan, mengurus kehidupan dan kerjaya.
Yang perlu memikul beban ini ialah anda sendiri. Sebab itu anda harus sedia mulai sekarang untuk menjadi cemerlang. Anda tidak semestinya memiliki bakat semulajadi yang terlalu tinggi seperti orang lain yang telah berjaya dengan cemerlang. Namun anda harus mulai menghayati sifat-sifat orang cemerlang.
Apakah kayu pengukur kecemerlangan menurut perspektif Islam? Bolehkah kita ambil contoh kejayaan tokoh-tokoh Islam terdahulu dari sudut personaliti, keluarga, kerjaya, agama, sains, perubatan, ketamadunan, politik dan ekonomi.

FAKTOR KEJAYAAN
Apakah faktor kejayaan mereka sehingga mereka dikenali seantero dunia dan sumbangan mereka memberi kesan yang besar dalam kehidupan manusia? Tokoh Islam terdahulu telah terbukti mencipta sejarah kecemerlangan hingga diguna pakai hari ini.
Tokoh-tokoh yang berjaya ini mempunyai sifat cemerlang yang tiada tolok bandingnya. Antara sifat kecemerlangan antaranya ialah:

 Niat yang Betul
Rasulullah s.a.w. bersabda bermaksud, "Setiap amalan adalah dengan niat." (Riwayat Bukhari dan Muslim daripada Saiyidina Umar al-khattab)
Oleh sebab itu, anda harus sentiasa memasang dan membetulkan niat sebelum memulakan apa jua pekerjaan samada yang berbentuk ibadah mahupun amal kebiasaan.

 Ada Wawasan dan Matlamat
Anda harus meletakkan wawasan dan matlamat dalam hidup. Ada cerita tentang tiga orang pekerja binaan. Apabila ditanya apakah wawasan dan matlamat mereka bekerja:
Pekerja pertama: "Saya nak cari makan."
Pekerja kedua: "Saya nak siapkan dinding bangunan ini."
Pekerja yang ketiga: "Saya hendak membina bandar yang indah dan permai."
Ya, pekerja yang ketiga itu mempunyai wawasan dan matlamat. Namun sebagai seorang Islam, matlamat tidak boleh menghalalkan cara. Anda terikat dengan peraturan dan hukum-hakam Islam. Matlamat duniawi anda mestilah berkaitan dengan kehidupan di akhirat.

 Berani dan Sanggup Berkorban
Tokoh-tokoh Islam terdahulu sanggup untuk bersusah payah. Lihat sahaja sejarah hidup Imam al-Nawawi dalam menuntut ilmu. Beliau sentiasa menghabiskan masa dengan belajar, menulis, menghafal, solat dan bertasbih. Apabila mengantuk, beliau tidur sebentar sambil duduk.
Umar Abdul Aziz, khalifah yang ketiga dibunuh pada usia 40 tahun. Khalid al-Walid mengharungi 100 medan peperangan, membunuh 5,000 orang musuh dalam Perang Yarmuk serta mematahkan 9 bilah pedang. Ali bin Abi Talib berani beradu kekuatan dalam Perang Badar, membuka benteng Khaibar dan menyembelih Amru bin Wud dalam Perang Khandak.

 Sentiasa Menambah Ilmu
Bagaimana tokoh terdahulu menguasai ilmu pengetahuan? Lihat bagaimana Imam Ahmad memberi fatwa kepada 60,000 permasalahan dengan disertai dalil. Lihat juga bagaimana Imam Abu Hanifah menjual sebahagia perabot rumahnya semata-mata digunakan untuk mencari ilmu.

 Perhatian Terfokus
Untuk cemerlang anda harus fokus kepada apa yang sedang anda lakukan. Lihat sahaja bagaimana Jabir bin Abdullah sanggup menempuh perjalanan selama sebulan ke Mesir semata-mata mencari sepotong hadis.
Kuasa fokus mampu menghasilkan kejayaan yang cemerlang seperti kuasa cahaya matahari yang difokuskan oleh kanta cembung yang mampu menukar tenaga cahaya matahari kepada tenaga api.

 Daya Tahan yang Tinggi
Untuk berjaya kita juga harus bekerja dengan lebih keras dan komited. Jangan cepat menyerah kalah. Gunakan masa pada tahap optimum. Setiap pekerjaan hendaklah dilakukan dengan istiqamah iaitu kerja yang berterusan (consistence).

 Bersifat Warak
Warak bermakna sentiasa bersiap sedia untuk menuju ke alam akhirat, namun tidak sekali-kali meninggalkan kepentingan duniawi. Abu Thalhah al-Ansari berpuasa 40 tahun berturut-turut. Imam al-Bukhari pernah berkata,"Aku tidak pernah berdusta sejak aku baligh." Imam Syafii pula berkata,"Aku tidak pernah bersumpah demi Allah, samada benar atau dusta."

 Sabar
Untuk mencapai kecemerlangan kita harus bersabar. Kejayaan tidak mungkin berhasil semalaman. Cuba bayangkan bagaimana Ibn Hajar mengarang kitab Fath al-Bari dan Muqaddimah dalam tempoh 32 tahun dan Abu Ubaid mengarang kitab al-Gharib dalam masa 40 tahun.

 Contohi Orang yang Berjaya
Kita mudah mengikut jalan yang telah ditempuh oleh tokoh yang telah berjaya. Metodologi yang diguna pakai telah terbukti berkesan. Cuba teliti sejarah dan biografi hidup mereka. Ibn Sina sendiri membaca buku al-Farabi sebanyak 40 kali sebelum menghasilkan karya agungnya.

 Tekun dan membina Kerjaya
Kejayaan meniti atas kerjaya kita. Sebab itu kita hendaklah membina kerjaya dengan mantap. Sedangkan Nabi Idris a.s. bekerja sebagai tukang jahit, Nabi Daud a.s. bekerja sebagai tukang besi dan nabi Musa a.s. bekerja sebagai penggembala kambing. Imam Abu Hanifah pula bekerja sebagai penjual kain. Anda mungkin memandang enteng terhadap kerja-kerja ini, namun kerja inilah yang telah mengukir sejarah hingga ke hari ini.

 Mengembara dan Mengambil Pengajaran
Untuk berjaya anda harus berfikiran terbuka. Anda harus banyak berjalan dan berfikir. Zubair al-Awwam merintis jalan ke negeri China dan meninggalkan segala harta di Madinah akhirnya meninggal di China. Ibnu Battuta pula mengelilingi dunia selama 30 tahun.

 Manfaatkan Masa Muda
Sebagai remaja anda harus menggunakan masa muda anda hingga ke tahap optimum seperti pesanan kumpulan Raihan dalam nasyidnya, Demi Masa. Ibn Taimiyah dilantik menjadi mufti ketika berusia 18 tahun. Muhammad bin al-Qasim menjadi panglima perang pada usia 17 tahun. Imam al-Ghazali pula menghafal al-Qur'an pada usia 6 tahun dan menjadi ulama besar pada usia 9 tahun!

 Amanah dan Jujur
Untuk menjadi orang cemerlang anda harus amanah dan jujur dalam semua aspek. Dua peristiwa yang penting berlaku pada zaman pemerintahan Sayidina Umar al-Khattab. Pertama ketika beliau bertemu dengan seorang budak pengembala kambing dan berpura-pura untuk membeli seekor kambing tanpa diketahui tuan punya kambing. Budak itu enggan melakukannya, kerana amanahnya.
Peristiwa kedua ialah ketika beliau terdengar perbualan seorang ibu yang menyuruh anak perempuannya mencampurkan air pada susu supaya dapat keuntungan yang berlipat ganda.
Si anak enggan, katanya,"Bukankah Sayidina Umar berkata jangan menipu."
Balas ibunya,"Sayidina Umar tidak ada di sini. Dia tidak tahu."
Anaknya membalas,"Kalaupun beliau tidak tahu, Allah tetap tahu."

 Bekerjasama Secara Berpasukan
Orang yang berjaya melakukan kerja secara berpasukan (team work). Semangat berjemaah mereka tinggi. Meeka memiliki semangat kekeluargaan dalam organisasi. Apabila melakukan sesuatu tugasan mereka melaksanakan semangat perbincangan (syura atau consultation) yang harmoni dan berkesan.

Kesimpulan
Orang cemerlang ibarat sebuah empangan, apabila semua anak-anak sungai dari hulu atau gunung mengalirkan air ke dalamnya, lama-kelamaan empangan itu akan penuh. Maksudnya jika kita menghiasi hidup kita dengan sifat-sifat orang cemerlang, diri kita akan menjadi cemerlang tanpa anda perlu berasa bimbang takut-takut diri anda tidak cemerlang.

Dipetik dari:
Hj. Muhammad Zakaria
Kolum Potensi * Kendali Diri (Solusi Isu 14)