إبداء ببسم الله

IP

Tuesday, October 12, 2010

Mini Karnival Pendidikan IPG KSAH 2010



Assalamualaikum wa rahmatullahi wa barakatuh…

Kepada pembaca Blog Al-Mu’allim yang amat di kasihi dan dihormati,

antum wa antunna di jemput untuk hadir ke Karnival Mini Pendidikan IPG KSAH

pada 16 dan 17 Oktober 2010 nanti..

Segala maklumat adalah seperti yang tertera dalam poster di atas.

Kehadiran antum wa antenna semua amatlah di alu-alukan.

Sekian wassalam..:-)

GURU PEMBINA MASYARAKAT BERAKHLAK MULIA

Guru adalah ahli ilmu yang menyampai dan mengembang serta menjayakan ilmu dalam masyarakat. Ia merangkumi ilmu pengetahuan mengenai Islam atau pengetahuan umum dengan ciri serta tugas yang perlu mendapat pembelaan sewajarnya dalam masyarakat. Mereka boleh menjalankan tugas dengan berkesan untuk mewujudkan umat yang beriman, berilmu dan beramal.

Dalam Islam, dilihat dari segi sejarah dan ajarannya, ada beberapa istilah yang digunakan mengenai guru. Antaranya ialah mu'allim, murabbi, mu'addib dan mudarris.

Mu'allim ialah guru yang menjayakan proses penyampaian dan pembangunan ilmu dalam diri manusia (ta'lim). Dalam al-Quran, proses ta'lim ini dimulakan sendiri oleh Allah dalam ayat yang bermaksud: Dan Allah ajarkan kepada Adam (hakikat) segala nama.(Q.2.31) Kemuliaan Nabi Adam dengan mendapat taklim daripada Allah. Dengan memiliki ilmu menjadikannya sebagai makhluk paling mulia. Allah memerintahkan malaikat sujud memuliakannya, bukan sujud ibadat. Guru sebagai mu'allim, mengajar dan mengembangkan ilmu serta menjayakannya dalam masyarakat - satu usaha suci dan mulia. Dengan itu, kemuliaan kedudukan guru dalam sejarah dan masyarakat Islam terjamin. Sikap memuliakan guru dan ilmu pengetahuan oleh umat Islam mendapat sanjungan tinggi daripada Franz Rosenthal dalam bukunya Knowledge Triumphant. Beliau berpendapat sukar untuk dicari peradaban seperti Islam yang memuliakan ilmu pengetahuan dan guru. Kedudukan mulia diberikan kepada guru, walaupun mereka bukan berstatus ulama.

Guru dipanggil juga sebagai murabbi, iaitu guru yang mendidik (menjayakan tarbiah). Mereka menjayakan peningkatan murid dari segi akal, rohani, jiwa dan fizikal. Mereka bertanggungjawab membentuk murid yang memiliki peribadi yang baik. Apa yang berlaku ialah proses peningkatan dalam diri murid. Guru yang mempunyai kemampuan sebagai murabbi - apa lagi murabbi dalam pengertian kerohanian - dipandang mulia dalam Islam kerana mereka mempunyai keperibadian yang mampu membawa manusia ke jalan kebaikan dan kebenaran sebagaimana yang dikehendaki Allah dan RasulNya. Alangkah beruntung dan bahagianya masyarakat dengan adanya guru yang bukan sahaja menyampaikan mata pelajaran kepada murid, tetapi turut meningkatkan peribadi dan kemampuan mereka.

Guru yang berfungsi sebagai murabbi dan penuh iltizam diperlukan oleh masyarakat dan umat Islam dalam menghadapi pelbagai cabaran yang dihadapi Islam. Peradaban guru sedemikian sifatnya mampu menyelesaikan banyak masalah.

Dalam Islam, guru juga dipanggil mursyid, iaitu guru yang membimbing, menentukan kehidupan serta nilai yang betul. Ini memang tepat dengan tujuan dan matlamat pendidikan sebagai proses menyampaikan kepada generasi muda, apa yang benar, baik dan unggul yang pernah diketahui, difahami, diyakini dan diamalkan dalam peradaban manusia, khususnya Islam. Ini termasuk setiap yang positif yang boleh dimanfaatkan daripada peradaban lain, termasuk barat. Mana-mana yang negatif pula perlu dijauhkan.

Guru sebagai pendidik, adalah ahli ilmu yang membimbing manusia ke jalan yang betul dalam pandangan hidup, hidup kerohanian, akhlak dan kepakaran dalam bidang ilmu yang berfaedah. Dengan ini, dikatakan bahawa pendidikan atau irsyad itu berjalan seiring dengan matlamatnya.

Dalam Islam guru juga dipanggil muaddib, iaitu guru yang menjayakan adab. Yang dimaksudkan dengan adab ialah semua jenis gerak-geri, sikap dan perbuatan serta nilai yang betul dan 'manis' dalam hubungan dengan semua pihak, bermula dengan Tuhan, orang tua, ibu, bapa, guru, rakan dan seterusnya. Inilah konsep adab yang menyeluruh dan luas yang disebutkan oleh Nabi Muhammad saw. dalam hadis yang lebih kurang bermaksud: Tuhanku menjayakan pendidikan adab dalam diriku dan Dia sempurnakan pendidikan adab itu.

Adab dalam pengertian yang menyeluruh dan mendalam inilah yang dimaksudkan oleh al-Mawardi dalam kitabnya Adabud-Dunya wad Din (Adab hidup dunia dan hidup beragama). Kita boleh lihat bagaimana pendidikan tidak terpisah daripada adab atau akhlak yang tinggi. Pendidikan yang dijayakan oleh guru yang beradab kepada murid adalah pendidikan yang unggul. Ia memang diharapkan melihat kepada pelbagai masalah akhlak dan moral yang dihadapi sekarang.

Kepentingan akhlak diberi penekanan yang wajar oleh Islam. Sebab itu Nabi Muhammad saw. bersabda lebih kurang maksudnya: Aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia. Dan Allah memuji Nabi Muhammad saw. dengan menyebut peribadinya yang agung dalam ayat yang kira-kira bernaksud: Sesungguhnya tuan hamba mempunyai peribadi yang agung (Q.4)

Kita boleh bersetuju dengan pemikir barat mengenai peradaban dan moral. Albert Schweitzer dalam bukunya Civilization and Ethics menyebut, kualiti sesuatu peradaban itu terletak pada keberadaban tenaga moral dalam peradaban itu. Adanya guru yang beradab dan memberi pendidikan adab kepada murid selain mendidik ilmu, adalah penyelesai banyak masalah yang dihadapi masyarakat.

Akhirnya guru digelar dalam Islam sebagai mudarris, iaitu mereka yang mengajar mata pelajaran kepada pelajar. Guru sebagai mu'allim, murabbi, muaddib dan mursyid adalah kualiti yang perlu diusahakan bersama supaya ia muncul di kalangan kita dan dengan itu banyak masalah akan selesai.

Dalam peradaban Islam, ulama dan guru yang mempunyai fungsi menjayakan budaya ilmu dalam Islam berpandukan keimanan dan ketaqwaan. Mereka juga menjayakan kemahiran untuk umat, dengan itu golongan yang diajar menjadi umat yang unggul, menyuruh kepada kebaikan, mencegah kemungkaran dan beriman kepada Allah. Mereka menjadi ustazaul'alam. Dengan ini manusia mendapat hasanah di dunia ini dan hasanah di akhirat.

Tugas utama bagi guru ialah membentuk pandangan hidup yang betul dalam bentuk akidah Ahli Sunnah wal-Jamaah. Pandangan hidup ini mengajar manusia hubungan yang betul dan tepat sesama manusia, Tuhan, alam dan kehidupan serta pengabdian manusia kepada Tuhan. Manusia menyempurnakan hidupnya di dunia demi untuk mencapai kebaikan dan kesempurnaan dalam alam yang kekal abadi. Masalah pandangan hidup dan akidah adalah masalah pokok.

Pandangan hidup inilah yang mendominasi manusia Nusantara sejak dulu hingga sekarang. Pandangan ini perlu diperjelas dan dijayakan. Dengan itu manusia Muslim menjadi orang yang mempunyai pegangan yang betul dan tepat mengenai Tuhan, Nabi dan Rasul, sahabat, alam malaikat, wahyu, alam akhirat serta qada dan qadar. Mereka terelak daripada kepalsuan rohaniah dan akliah yang datang daripada pegangan sesat dalam bentuk klasik atau moden.

Tugas guru juga ialah membantu dan mendidik manusia menjayakan hidup rohani yang sebenarnya supaya kehausan mereka dalam bidang ini dipenuhi dan mereka menjadi orang yang sihat dari segi perjalanan rohaninya dan tidak terpedaya dengan amalan rohani atau ajaran pseudospiritual yang pelbagai ragaam.

Guru juga bertanggungjawab mendidik murid mengenal dan menghayati nilai kebenaran, kebaikan, keindahan dan keadilan dengan spektrumnya yang seimbang dan benar dalam konteks memandang insan sebagai khalifah Allah dan hambaNya.

Nilai kebenaran, keadilan, keindahan, amanah, keberanian, perjuangan, ihsan, itqan dan seterusnya, menjadi ciri hidup yang unggul dan penuh bererti, diterapkan dalam peribadi, keluarga dan masyarakat serta peradaban.

Guru juga bertanggungjawab membentuk hidup berdisiplin berdasarkan syariat Ilahi serta aturan berdasarkan syariat itu. Dengan ini, disiplin menyeluruh wujud dalam peribadi, keluarga, masyarakat dan budaya. Tugas guru juga untuk mendidik murid mempunyai kemahiran dan ketrampilan dalam bidang yang diperlukan. Dengan itu mereka boleh berdikari dalam hidup. Mereka adalah harta kepakaran bagi umat Islam. Ini bersesuaian dengan maksud ayat al-Quran: Dan bersiap sedialah kamu bagi menghadapi mereka (musuh). (al-Anfal.61)

Guru juga bertanggungjawab, serta pihak lain dalam masyarakat, untuk membentuk budaya ilmu dalam masyarakat. Dengan itu umat Islam akan menjadi umat yang memimpin manusia dalam akidah, ilmu, kemahiran dan budaya. Dengan kesungguhan umat dalam usaha yang diredhai Allah, cita-cita ini akan tercapai. Bagaimanapun, guru perlu memberi kesedaran kepada murid supaya mereka tidak tenggelam dalam slogan hidup mewah dan berfikiran mudah. Mereka hanya mementingkan barangan mahal tetapi fikiran mereka terhad kepada perkara-perkara yang bersahaja, tanpa mempedulikan cita-cita rohaniah, akliah dan moral tinggi.

Ada beberapa sifat yang perlu dimiliki demi melahirkan guru yang boleh berfungsi dengan baik: Matlamat dan tujuan terakhir ialah berusaha untuk mendapat keredhaan Allah dalam hidup keduniaan, berbuat jasa dan bakti kepada manusia untuk mencari keredhaan Allah. Sentiasa ingat kepada matlamat dan tujuan dalam hidup sama ada dari segi jangka panjang atau pendek.

Manusia adalah makhluk bertanggungjawab. Bebanan tanggungjawab dan amanah ini jelas daripada ayat yang kira-kira bermaksud: Sesungguhnya Kami bentangkan amanah kepada langit, bumi dan bukit-bukau, tetapi mereka tidak mahu memikulnya kerana takut kepadaNya dan manusia memikulnya. Ia zalim lagi jahil (apabila menyalahgunakan amanah). (al-Ahzab.72) Terikatnya manusia dengan tanggungjawab dijelaskan dalam ayat yang kira-kira bermaksud: Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati dipertanggungjawabkan semuanya. (al-Israk.36) Maka hendaklah sifat bertanggungjawab ini dibentuk dalam diri, sesuai dengan kedudukan manusia sebagai khalifah Allah dan hambaNya.

Sifat hidup dan beramal serta berusaha mengikut aturan dan ketertiban, dan kepentingan hidup mengikut tertib dan aturan berdasarkan ajaran Tuhan dan syariatnya itu, menjadi syarat dan rukun dalam ibadat dan ia sesuatu yang amat dituntut.

Guru mempunyai sifat berkerjasama dengan bersungguh-sungguh dan ikhlas serta mesra dalam semua perkara yang baik dan benar, bukannya dalam perkara yang palsu dan salah. Sifat berkerjasama ini adalah satu daripada ciri-ciri orang yang berjaya. Dalam al-Quran ada ayat yang lebih kurang maksudnya: Berkerjasamalah kamu antara satu dengan lain dalam perkara kebaikan dan ketaqwaan dan janganlah kamu berkerjasama dalam perkara dosa dan perkelahian. (al-Maidah.3)

Dalam alam tabie mesti wujud kerjasama yang mesra dalam bentuk symbiosis. Maka kelihatanlah panorama alam yang harmonis dan indah, penuh dengan faedah dan manfaat. Sifat suka meneliti dan menghisab diri untuk pencapaian yang lebih tinggi perlu ada pada guru, bagi membolehkan mereka menjadi guru yang memberangsangkan.

Dari segi ilmu, mereka hendaklah meneliti, melihat bagaimana ilmu boleh ditingkatkan dengan pembacaan dan penelitian, samada ilmu agama atau kemahiran diri. Pembacaan yang luas dan berguna perlu dilakukan.

Dari segi rohaniah dan akhlak, guru perlu menghitung dirinya mengenai keyakinan dan amalannya serta hubungannya dengan Allah. Demikian juga akhlaknya yang sentiasa perlu ditingkatkan, samada dengan pembacaan atau taubat dan penyesalan terhadap kesilapannya.

Dari segi fizikal dan kemasyarakatan, ia perlu meneliti bagaimana kesihatan badannya yang perlu diberi perhatian supaya tidak merana dan gagal dalam melaksanakan tugas. Sifat meneliti diri demi untuk mencapai tahap yang lebih baik dalam semua kepakaran, apa lagi hubungan dengan Tuhan, adalah sifat yang amat penting. Dengan itu dia akan muncul sebagai guru yang utama.

Sudah tentu guru perlu sedar kemuliaan tugas sebagai guru dan kedudukan mereka, sebagaimana yang diajar dalam sejarah dan ajaran Islam. Dengan itu dia perlu menjaga kemuliaannya. Masyarakat pula perlu melaksanakan tugas dan tanggungjawab untuk memuliakan guru dan menyedarkan guru mengenai kemuliaan mereka. Antaranya:

1. Menyebarluaskan maklumat dan kesedaran mengenai kemuliaan guru dan tugasnya dalam masyarakat melalui majlis ilmu, perbincangan, forum dan seterusnya anjuran persatuan ibubapa dan guru (PIBG) dan sebagainya.

2. Memberi layanan baik dan beradab kepada masyarakat terhadap guru dengan mengenang jasa mereka dalam pendidikan dan dengan mengajar anak-anak supaya memuliakan guru, samada guru yang mengajarkan ilmu syariat atau ilmu yang berfaedah. Selain ilmu syarak, ilmu umum yang berguna menjadi 'jalan' yang boleh membawa ke syurga.

3. Sejarah ulama dan cendikiwan serta guru dalam peradaban Islam hendaklah disebarkan dalam media samada media elektronik atau cetak.

4. Penghormatan kepada guru eloklah diberikan dalam bentuk kurnia yang bernilai dan berharga, bukan sahaja kepada mereka yang berjasa dalam sukan dan sebagainya.

5. Penerbitan buku dan risalah yang membicarakan ketokohan guru dan kemuliaan mereka dalam sejarah Islam, sejarah rantau ini dan sejarah dunia eloklah dijayakan. Dengan itu jasa guru dan kehormatan mereka disedari.

Oleh: Ustaz Muhammad Uthman El-Muhammady
Kertaskerja dipetik dari Kertas Panduan Kursus Ketrampilan Pensyarah Pendidikan Islam Institut/Maktab Perguruan Malaysia - 22-26 Julai 1996

Saturday, October 9, 2010

Kesan Aqidah Dalam Kehidupan Manusia

Menurut Almarhum Abul A’la al Maududi, pengakuan beriman kepada Allah SWT sebenarnya boleh meninggalkan kesan ke atas kehidupan manusia. Malah, katanya, orang yang tidak beriman dengan Allah SWT akan mengalami kegagalan dan kerugian yang besar.

Apakah kesan beriman dengan Allah SWT? Apakah kerugian yang dialami orang yang tidak beriman?

1. Berpandangan luas

Menurut al.Maududi, orang yang beriman dengan Allah tidak mungkin mempunyai pandangan yang sempit kerana dia percaya kepada Yang Menciptakan langit dan bumi, Pemilik alam semesta, Pemilik barat dan timur, Pemberi rezeki dan Pendidik makhluk. Dia tidak akan menemui sesuatu yang ganjil dalam alam ini kerana segala sesuatu yang ada di dalamnya adalah milik Allah. Tidak ada sesuatu pun dalam alam ini yang dapat menghalang dan membataskan rasa cintanya dan kecenderungannya untuk memberi pertolongan dan khidmat kepada sesama manusia.

Bagaimanapun pandangan seperti ini tidak mungkin ada pada orang yang menganut fahaman tuhan yang berbilang-bilang, yang beri’tiqad Allah mempunyai sifat serba kekurangan dan terbatas seperti manusia atau orang yang tidak percaya kepada Allah sama sekali.

2. Melahirkan rasa bangga dan harga diri.

Orang yang beriman kepada Allah berasa bangga sebagai manusia dan mempunyai harga diri. Dia mengetahui Allah adalahPemilik sebenar segala kekuatan yang ada dalam alam ini, tidak ada yang memberi manfaat dan mudarat kecuali Allah, tidak ada yang menghidup dan mematikan kecuali Allah serta tidak ada yang memiliki hukum, kekuasaan dan kedaulatan kecuali Allah.

Oleh itu, keimanannya kepada Allah menyebabkan dia t’dak berhajat kepada yang lain daripada Allah. Tercabut dari dalam hatinya rasa takut kepada yang lain daripada Allah. Dia tidak menundukkan kepalanya di hadapan makhluk, tidak merendahkan diri dan mengemis kepada manusia dan tidak gentar dengan kesombongan dan kebesaran manusia.

Sifat seperti ini tidak mungkin ada pada manusia yang tidak beriman dengan Allah. Antara perkara yang menyebabkan syirik, kufur dan murtad ialah seseorang mahu menundukkan kepalanya kepada yang lain daripada Allah dan menganggapnya berkuasa memberi manfaat dan mudarat. Ia takut dan bergantung harap kepadanya.

3. Rendah hati sesama manusia.

Orang yang beriman dengan Allah tidak mungkin menjadi angkuh, tidak mensyukuri nikmat dan tidak terpedaya dengan kekuatan dan kemahiran yang dimilikinya kerana dia tahu dan yakin semua itu adalah kurniaan Allah kepadanya. Malah dia sedar Allah berkuasa mengambilnya kembali apabila Dia menghendaki.

Manusia yang tidak percaya kepada Allah akan mengingkari nikmat, menyombong dan mengangkat kepala apabila memperolehi nikmat yang sementara kerana menganggap nikmat itu hasil usaha dan kecekapannya. Begitu juga orang yang musyrik menjadi sombong apabila mendapat nikmat kerana menyangka dia mendapat perhatian lebih daripada Tuhannya berbanding orang lain.

4. Jiwa yang bersih dan beramal saleh

Orang yang beriman dengan Allah yakin tidak ada jalan untuk mencapai keselamatan dan keuntungan kecuali dengan jiwa yang bersih dan beramal saleh. Kesedaran itu timbul kerana dia beriman kepada Allah yang Maha Kaya dan Maha Adil, bergantung harap segala sesuatu kepada-Nya.

Sebaliknya orang yang musyrik dan kafir menghabiskan masa hidup mereka untuk angan-angan yang palsu. Di antara mereka ada yang berkata:

“Sesungguhnya anak Allab telah menjadi penebusan dosa-dosa kita kepada Bapanya.”‘Ada juga yang berkata: “Kami adalah putera Allah dan kekasihnya, maka Ia tidak akan menyiksa kami kerana dosa kami.”Ada juga yang berkata: “Kami akan meminta syafaat pada sisi Allah kepada pembesar kami dan orang yang bertaqwa di kalangan kami.’ Ada juga di kalangan mereka yang menyembahkan nazar dan korban kepada tuhan mereka dan menganggap dengan cara demikian mereka telah mendapat izin untuk berbuat sekehendak hati mereka.

Kepercayaan karut seperti itu sentiasa membenamkan orang-orang berkenaan dalam lumpur dosa dan maksiat serta lupa mensucikan iiwa dan memperbaiki amal mereka.Orang yang murtad pula sama sekali tidak percaya adanya Pencipta mereka. Mereka tidak percaya akan diminta bertanggungiawab atas perbuatan mereka serta menerima balasan atas perbualan itu. Mereka menyangka mereka merdeka di dunia dan tidak terikat dengan sesuatu undang-undang. Tuhan mereka ialah hawa nafsu dan mereka meniadi hambanya.

5. Tidak berputus asa dan hilang harapan

Orang mukmin tidak mudah dihinggapi rasa putus asa dan hilang harapan dalam apa keadaan sekalipun kerana dia beriman kepada Yang Memiliki langit dan bumi serta Yang Memiliki nikmat dan kurniaan yang banyak. lman memberikan ketenteraman yang luar biasa pada hatinya. lman mengisi hatinya dengan ketenangan dan harapan meskipun dia dihina di dunia dan diusir dari semua pintu kehidupan sehingga kelihatan jalan hidupnya sempit dan seluruh saluran kebendaan terputus daripadanya. Dia yakin Allah tidak pernah terlena dan tidak membiarkan hidupnya terlantar. Oleh itu dia sentiasa mencurahkan tenaganya dengan bertawakkal kepada Allah dan meminta pertolongan daripada-Nya dalam semua urusan.

Ketenteraman hati dan ketenangan iiwa seperti ini tidak mungkin dimiliki kecuali dengan aqidah tauhid. Orang kafir, musyrik dan mulhid (athies) mempunyai hati yang lemah. Mereka bersandar kepada kekuatan yang terbatas. Maka alangkah cepatnya mereka dihinggapi rasa putus asa ketika menghadapi kesukaran. Kadangkala membawa mereka membunuh diri.

6. Memiliki hati dan pendirian yang teguh


lman kepada Allah mendidik manusia dengan kekuatan-yang besar, bulat, tekad, berani, sabar, tabah dan tawakkal ketika menghadapi perkara besar di dunia demi mengharapkan keredaan Allah. Dia yakin kekuatan Allah yang memiliki langit dan bumi menyokongnya dan membimbingnya dalam setiap aspek kehidupan.

Oleh itu hatinya menjadi lebih teguh, tabah dan keras daripada keteguhan, ketabahan dan kekerasan gunung. Hampir tidak ada suatu musibah dalam dunia yang dapat melawan tekad yang telah dibuatnya. Bagaimanakah syirik, kufur dan mulhid dapat menentang kekuatan dan ketabahan seperti ini?

7. Berani dan tabah

lman kepada Allah menjadikan manusia berani dan mengisi hatinya dengan ketabahan. Ada dua perkara yang menjadikan seseorang manusia itu pengecut dan lemah semangat. Pertama, cinta pada diri, harta dan keluarganya. Kedua, percaya bahawa ada yang lain daripada Allah yang dapat mematikan manusia dan dia tidak dapat menolak kematian itu dengan sebarang tipu daya.

Bagaimanapun iman kepada Allah dapat mencabut kedua-dua perkara itu daripada hati manusia dan membersihkannya daripada daki-dakinya dengan sebersih-bersihnya. lman dapat mencabut yang pertama dengan menjadikan dia yakin bahawa Allah adalah satu-satunya Pemilik diri, harta dan keluarganya. Iman menjadikan dia sedia berkorban untuk jalan dan keredhaan Allah. Dia sedia berkorban dengan segala sesuatu yang ada padanya sama ada yang mahal mahupun murah.

Iman juga dapat mencabut perkara kedua dengan menanamkan ke dalam iiwa manusia bahawa tidak ada seorang manusia atau seekor binatang pun yang dapat merampas hidupnya, tidak juga bom atau meriam, pedang, batu atau kayu, sebaliknya hanya Allah yang berkuasa berbuat demikian. Allah telah menetapkan waktu bagi kematiannya. Tidak ada satu kekuatan pun dalam dunia ini yang dapat mempercepatkannya.

Oleh itu, tidak ada orang di dalam dunia yang lebih berani daripada orang yang beriman kepada Allah. Satu bala tentera sekalipun tidak dapat menakutkan atau menggentarkannya kerana ketika dia maju untuk berjihad dia dapat menghancurkan suatu kekuatan yang melebihi sepuluh kali ganda.

Oleh itu, bagaimanakah orang kafir, musyrik dan mulhid menganggap jiwa mereka adalah barang paling berharga bagi diri mereka dan yakin bahawa mati itu datang bersama kedatangan musuh dan pergi dengan pemergian musuh?

8. Menjauhi perbuatan hina, berpada dengon yang ada

Iman kepada Allah mengangkat darjat manusia dan menimbulkan dalam dirinya sifat menjauhkan diri daripada perbuatan yang rendah martabatnya. Dia juga berasa cukup dengan apa yang ada dan tidak memerlukan pemberian orang, menyucikan hatinya daripada sifat tamak, rakus, dengki, rendah diri dan segala sifat buruk serta kecenderungan yang hina. Tidak terlintas dalam hatinya memilih jalan yang keji untuk mencapai kejayaan kerana dia yakin rezeki berada di tangan Allah. Dia yakin Allah melimpahkan rezeki kepada orang yang dikehendaki-Nya dan menentukan kepada orang yang dikehendaki-Nya.

Tidak ada kemuliaan, kekuatan, kemasyhuran, kekuasaan, pengaruh dan kemenangan melainkan di tangan Allah. Manusia wajib berusaha dengan cara yang mulia menurut kemampuannya. Kejayaan atau kegagalan bergantung kepada Allah. Tidak ada yang dapat menahan apa yang diberi-Nya dan tidak ada yang dapat memberi apa yang ditahan-Nya.

Orang kafir, musyrik dan mulhid menyangka bahawa kejayaan mereka atau kegagalan bergantung kepada bantuan kekuatan duniawi atau halangannya. Mereka adalah hamba kepada keserakahan dan kerakusan. Untuk mencapai kejayaan mereka tidak segan menerima rasuah, mengampu, bersekongkol dan melakukan pelbagai lagi cara yang keji. Mereka menggigit jari kerana dengki melihat kejayaan orang lain. Mereka menggunakan tipu daya untuk menjatuhkan orang lain atau orang yang menentang mereka.

9. Terikat dan patuh pada peraturan Allah

Perkara paling penting dalam hubungan ini ialah iman kepada Allah menjadikan manusia terikat dan patuh kepada undang-undang Allah. Orang yang beriman yakin Allah mengetahui segala sesuatu. Malah Allah lebih dekat kepada diri mereka daripada urat leher mereka sendiri.

Orang beriman yakin apabila mereka melakukan sesuatu perbuatan di dalam gelap ataupun bersendirian, Allah tetap mengetahui. Apabila terlintas dalam hatinya sesuatu yang tidak baik, Allah tetap mengetahui. Walaupun dia dapat menyembunyikan perbuatannya daripada orang lain, dia tidak dapat menyembunyikannya daripada Allah. Walaupun dia dapat melepaskan dirinya daripada sebarang kekuatan, dia tidak dapat melepaskan dirinya daripada Allah.

Oleh itu semakin kukuh iman ini melekat dalam jiwa seseorang, semakin tekun ia mengikuti hukum Allah dan menjauhi larangan-Nya. la bergegas menuju kebajikan dan mengerjakan apa yang diperintah oleh Allah sekalipun di dalam gelap mahupun bersendirian. Di hadapan matanya sentiasa terbayang pengadilan tinggi yang hampir dan tidak ada orang yang dapat melepaskan diri daripada pemeriksaan-Nya.

Iman kepada Allah menjadi syarat pertama dan paling utama untuk menjadikan seseorang manusia itu Muslim kerana seorang Muslim ialah hamba yang taat dan patuh hanya kepada Allah SWT.


Sumber : http://dakwah.info