Friday, December 11, 2009
SIFAT ORANG CEMERLANG
Mereka juga mahu anak mereka cemerlang dalam akhlak, sahsiah dan perhubungan sesama manusia. Kalau boleh, mereka juga mahu anak cemerlang dalam sukan, persatuan, mengurus kehidupan dan kerjaya.
Yang perlu memikul beban ini ialah anda sendiri. Sebab itu anda harus sedia mulai sekarang untuk menjadi cemerlang. Anda tidak semestinya memiliki bakat semulajadi yang terlalu tinggi seperti orang lain yang telah berjaya dengan cemerlang. Namun anda harus mulai menghayati sifat-sifat orang cemerlang.
Apakah kayu pengukur kecemerlangan menurut perspektif Islam? Bolehkah kita ambil contoh kejayaan tokoh-tokoh Islam terdahulu dari sudut personaliti, keluarga, kerjaya, agama, sains, perubatan, ketamadunan, politik dan ekonomi.
FAKTOR KEJAYAAN
Apakah faktor kejayaan mereka sehingga mereka dikenali seantero dunia dan sumbangan mereka memberi kesan yang besar dalam kehidupan manusia? Tokoh Islam terdahulu telah terbukti mencipta sejarah kecemerlangan hingga diguna pakai hari ini.
Tokoh-tokoh yang berjaya ini mempunyai sifat cemerlang yang tiada tolok bandingnya. Antara sifat kecemerlangan antaranya ialah:
Niat yang Betul
Rasulullah s.a.w. bersabda bermaksud, "Setiap amalan adalah dengan niat." (Riwayat Bukhari dan Muslim daripada Saiyidina Umar al-khattab)
Oleh sebab itu, anda harus sentiasa memasang dan membetulkan niat sebelum memulakan apa jua pekerjaan samada yang berbentuk ibadah mahupun amal kebiasaan.
Ada Wawasan dan Matlamat
Anda harus meletakkan wawasan dan matlamat dalam hidup. Ada cerita tentang tiga orang pekerja binaan. Apabila ditanya apakah wawasan dan matlamat mereka bekerja:
Pekerja pertama: "Saya nak cari makan."
Pekerja kedua: "Saya nak siapkan dinding bangunan ini."
Pekerja yang ketiga: "Saya hendak membina bandar yang indah dan permai."
Ya, pekerja yang ketiga itu mempunyai wawasan dan matlamat. Namun sebagai seorang Islam, matlamat tidak boleh menghalalkan cara. Anda terikat dengan peraturan dan hukum-hakam Islam. Matlamat duniawi anda mestilah berkaitan dengan kehidupan di akhirat.
Berani dan Sanggup Berkorban
Tokoh-tokoh Islam terdahulu sanggup untuk bersusah payah. Lihat sahaja sejarah hidup Imam al-Nawawi dalam menuntut ilmu. Beliau sentiasa menghabiskan masa dengan belajar, menulis, menghafal, solat dan bertasbih. Apabila mengantuk, beliau tidur sebentar sambil duduk.
Umar Abdul Aziz, khalifah yang ketiga dibunuh pada usia 40 tahun. Khalid al-Walid mengharungi 100 medan peperangan, membunuh 5,000 orang musuh dalam Perang Yarmuk serta mematahkan 9 bilah pedang. Ali bin Abi Talib berani beradu kekuatan dalam Perang Badar, membuka benteng Khaibar dan menyembelih Amru bin Wud dalam Perang Khandak.
Sentiasa Menambah Ilmu
Bagaimana tokoh terdahulu menguasai ilmu pengetahuan? Lihat bagaimana Imam Ahmad memberi fatwa kepada 60,000 permasalahan dengan disertai dalil. Lihat juga bagaimana Imam Abu Hanifah menjual sebahagia perabot rumahnya semata-mata digunakan untuk mencari ilmu.
Perhatian Terfokus
Untuk cemerlang anda harus fokus kepada apa yang sedang anda lakukan. Lihat sahaja bagaimana Jabir bin Abdullah sanggup menempuh perjalanan selama sebulan ke Mesir semata-mata mencari sepotong hadis.
Kuasa fokus mampu menghasilkan kejayaan yang cemerlang seperti kuasa cahaya matahari yang difokuskan oleh kanta cembung yang mampu menukar tenaga cahaya matahari kepada tenaga api.
Daya Tahan yang Tinggi
Untuk berjaya kita juga harus bekerja dengan lebih keras dan komited. Jangan cepat menyerah kalah. Gunakan masa pada tahap optimum. Setiap pekerjaan hendaklah dilakukan dengan istiqamah iaitu kerja yang berterusan (consistence).
Bersifat Warak
Warak bermakna sentiasa bersiap sedia untuk menuju ke alam akhirat, namun tidak sekali-kali meninggalkan kepentingan duniawi. Abu Thalhah al-Ansari berpuasa 40 tahun berturut-turut. Imam al-Bukhari pernah berkata,"Aku tidak pernah berdusta sejak aku baligh." Imam Syafii pula berkata,"Aku tidak pernah bersumpah demi Allah, samada benar atau dusta."
Sabar
Untuk mencapai kecemerlangan kita harus bersabar. Kejayaan tidak mungkin berhasil semalaman. Cuba bayangkan bagaimana Ibn Hajar mengarang kitab Fath al-Bari dan Muqaddimah dalam tempoh 32 tahun dan Abu Ubaid mengarang kitab al-Gharib dalam masa 40 tahun.
Contohi Orang yang Berjaya
Kita mudah mengikut jalan yang telah ditempuh oleh tokoh yang telah berjaya. Metodologi yang diguna pakai telah terbukti berkesan. Cuba teliti sejarah dan biografi hidup mereka. Ibn Sina sendiri membaca buku al-Farabi sebanyak 40 kali sebelum menghasilkan karya agungnya.
Tekun dan membina Kerjaya
Kejayaan meniti atas kerjaya kita. Sebab itu kita hendaklah membina kerjaya dengan mantap. Sedangkan Nabi Idris a.s. bekerja sebagai tukang jahit, Nabi Daud a.s. bekerja sebagai tukang besi dan nabi Musa a.s. bekerja sebagai penggembala kambing. Imam Abu Hanifah pula bekerja sebagai penjual kain. Anda mungkin memandang enteng terhadap kerja-kerja ini, namun kerja inilah yang telah mengukir sejarah hingga ke hari ini.
Mengembara dan Mengambil Pengajaran
Untuk berjaya anda harus berfikiran terbuka. Anda harus banyak berjalan dan berfikir. Zubair al-Awwam merintis jalan ke negeri China dan meninggalkan segala harta di Madinah akhirnya meninggal di China. Ibnu Battuta pula mengelilingi dunia selama 30 tahun.
Manfaatkan Masa Muda
Sebagai remaja anda harus menggunakan masa muda anda hingga ke tahap optimum seperti pesanan kumpulan Raihan dalam nasyidnya, Demi Masa. Ibn Taimiyah dilantik menjadi mufti ketika berusia 18 tahun. Muhammad bin al-Qasim menjadi panglima perang pada usia 17 tahun. Imam al-Ghazali pula menghafal al-Qur'an pada usia 6 tahun dan menjadi ulama besar pada usia 9 tahun!
Amanah dan Jujur
Untuk menjadi orang cemerlang anda harus amanah dan jujur dalam semua aspek. Dua peristiwa yang penting berlaku pada zaman pemerintahan Sayidina Umar al-Khattab. Pertama ketika beliau bertemu dengan seorang budak pengembala kambing dan berpura-pura untuk membeli seekor kambing tanpa diketahui tuan punya kambing. Budak itu enggan melakukannya, kerana amanahnya.
Peristiwa kedua ialah ketika beliau terdengar perbualan seorang ibu yang menyuruh anak perempuannya mencampurkan air pada susu supaya dapat keuntungan yang berlipat ganda.
Si anak enggan, katanya,"Bukankah Sayidina Umar berkata jangan menipu."
Balas ibunya,"Sayidina Umar tidak ada di sini. Dia tidak tahu."
Anaknya membalas,"Kalaupun beliau tidak tahu, Allah tetap tahu."
Bekerjasama Secara Berpasukan
Orang yang berjaya melakukan kerja secara berpasukan (team work). Semangat berjemaah mereka tinggi. Meeka memiliki semangat kekeluargaan dalam organisasi. Apabila melakukan sesuatu tugasan mereka melaksanakan semangat perbincangan (syura atau consultation) yang harmoni dan berkesan.
Kesimpulan
Orang cemerlang ibarat sebuah empangan, apabila semua anak-anak sungai dari hulu atau gunung mengalirkan air ke dalamnya, lama-kelamaan empangan itu akan penuh. Maksudnya jika kita menghiasi hidup kita dengan sifat-sifat orang cemerlang, diri kita akan menjadi cemerlang tanpa anda perlu berasa bimbang takut-takut diri anda tidak cemerlang.
Dipetik dari:
Hj. Muhammad Zakaria
Kolum Potensi * Kendali Diri (Solusi Isu 14)
Sunday, November 15, 2009
Exam mode..
Berterabur apa yg ana coretkan kt atas 2.. Apapn, marilah kta sma2 m'isi ms t'luang kta dgn p'kara yg b'faedah dan yg penting jgn anggap cuti 2 adalah cuti dr bljr krn bljr itu b'sifat sepanjang hayat.. Sbgaimana sabda Rasulullah s.a.w.. : ( أطلب العلم من المهد الى اللهد ) .. Sama2 kta renungkan bersama..:-)
Monday, September 14, 2009
Thursday, August 13, 2009
Program Di RPS Banun dengan Kerjasama PJU
Pada 4 Ogos yang lepas, kelas ana iaitu kelas PISMP pengajian Agama telah mengadakan satu program di sebuah sekolah orang asli iaitu di RPS Banun, Gerik, Perak. Program ini diseliakan bersama antara kelas ana dengan Projek Jaringan Utara dibawah Program Persiangan Salinantan. Tujuan program ini adalah bertujuan untuk mendedahkan guru pelatih dengan suasana pengajaran dan pembelajaran di sekolah pedalaman terutamanya untuk kaum pribumi.
Sunday, July 12, 2009
Mengulama'kan Profesional, Memprofesionalkan Ulama'...
Pengertian sebenar Ulama’ seringkali disalah tafsirkan, begitu juga dengan tanggungjawab dan peranan yang harus mereka laksanakan.
Ulama’ ialah orang yang ahli (pakar) dalam pengetahuan agama Islam manakala mengulama’kan ialah menjadikan seseorang (golongan) ulama’. (Kamus Dewan DBP : Edisi Ketiga). Masyarakat pada hari ini telah melabel ulama’ sebagai kelompok yang jumud dan tidak profesional. Mereka hanya melihat bidang tertentu seperti perubatan, kejuruteraan, guaman dan sebagainya profesional. Tetapi pada hakikatnya golongan ulama’ juga tergolong dalam golongan profesional kerana mereka mengamalkan pengetahuan, kepakaran dan kemahiran mereka dalam ilmu agama. Malah tahap keprofesionalan mereka labih terserlah kerana disamping komited dalam menyampaikan dakwah (profesional fizikal) mereka juga profesional rohani iaitu dari segi hubungan mereka dengan Allah.
Namun, malangnya Ulama’ secara terbuka ditempelak dan dipertanggungjawab tentang kemunduran umat Islam. Sedangkan kemungkaran dan penyelewengan oleh kelompok tertentu yang mendabik dada kononnya merekalah yang membawa kemajuan di dalam masyarakatlah yang menjatuhkan ketamadunan umat Islam. Mereka lupa bahawa kejatuhan sesebuah kerajaan Islam ialah apabila para ulama’ yang ikhlas dan berwibawa disingkir dan dinafikan tugasnya.
Kejatuhan Kerajaan Abbasiah adalah berpunca dari sikap angkuh pemimpin yang menolak pandangan dan nasihat ulama’. Pemerintah yang leka dengan kemewahan dunia dan terpengaruh dengan tamadun yang dicapai akhirnya negara Islam yang kuat telah berpecah dan tumbang satu demi satu. Keadaan yang sama berlaku ke atas kerajaan Islam Sepanyol. Sikap tamak, berfoya-foya dan bermegah dengan kemajuan dunia menyebabkan mereka hilang pedoman. Berdasarkan situasi hari ini yang amat menekankan kemajuan teknologi, golongan profesional dan ulama’ perlu mempunyai satu hubungan yang sangat rapat.
Sudah tiba masanya untuk kita melahirkan profesional yang ulama’ dan ulama’ yang profesional. Kita tidak mahu hanya melahirkan golongan Al-Mutafakkirin atau pemikir tetapi kita mahu pemikir yang juga menjadi ulama’ kerana ulama’ mempunyai ilmu yang amat luas yang berpandukan wahyu Allah. Sedang pemikir hanya menggunakan akal semata. Golongan sebeginilah yang menjadi angkuh setelah berjaya dalam kerjaya. Mereka meletakkan status profesional mereka sebagai tiket untuk membawa idealisme modenisasi Islam berpandukan acuan barat. Mereka seringkali memberikan tafsiran baru mengenai Islam tanpa berpandukan Al-Qur’an dan Hadis.
Seorang ulama’ itu dikatakan alim ilmu Islam sekiranya memenuhi empat syarat.
Pertama - Memiliki fardhu ain dan fardhu kifayah. Ilmu fardhu ain ialah ilmu yang wajib dipelajari setiap orang; samada alim dalam bidang sains dan teknologi. Ilmu yang dipelajari merangkumi aqidah, syariah dan akhlaq.
Kedua - Ulama’ mestilah beramal dengan ilmu yang dipelajari. Jika mereka ada ilmu tetapi tidak beramal samalah seperti pokok yang tidak berbuah dan ini mengundang dosa besar.
Ketiga - Ikhlas. Hendaklah belajar ilmu itu dengan ikhlas kerana Allah, bukan untuk tujuan lain.
Keempat - Takut kepada Allah. “Yang paling takut ialah ulama.” (maksud al-Qur’an). Ini kerana ulama’lah yang paling kenal Allah. Apabila mereka kenal Allah bermakna merekalah yang paling takut Allah berbanding orang lain. Bagaimanapun kita tidak dapat menentukan ulama’ yang benar-benar mengikut syarat-syarat yang diberi kerana hanya Allah sahaja yang tahu.
Seorang ahli profesional yang ingin meletakkan diri mereka dalam kelompok profesional Islam harus menyiapkan diri mereka dengan ilmu agama dan menguasai teknologi terkini. Sebagai contoh, juruterbang MAS iaitu Hafiz Firdaus yang berjaya menjadikan kerjayanya sebagai platform dakwah. Beliau akan mengalunkan azan dari kokpit sebaik sahaja menyedari masuk waktu solat dan membacakan doa sebelum pesawat berlepas dari landasan. Ini secara tidak langsung menyedarkan penumpang kepentingan solat dan tawakal kepada Allah dalam setiap urusan.
Disamping memerlukan profesional yang ulama’, kita juga ingin melihat ulama’ yang profesional. Memetik kata-kata ulama’ besar India, Maulana Abu Hassan Ali Al-Huseini An-Nadwi bahawa perlunya ada integrasi antara kitab lama yang soleh dan ilmu baru yang bermanfaat. Ulama’ harus menguasai isu-isu semasa dan teknologi terkini agar boleh menyampaikan dakwah dengan lebih berkesan.
Thursday, June 11, 2009
Setelah lama tak post artikel...
Lama dah ana tak update blog ana ni sejak cuti..
Hari ni ana nak update sikit..
Start cuti hari tu ana terus ke Langkawi untuk kursus JPP IPGM Zon Utara. 5 IPGM semua yang terlibat iaitu IPGM KSAH, IPGM KAMDAR, IPGM KP, IPGM KTB dan IPGM KPP. Di sana kami mendapat input2 baru dan bertukar-tukar maklumat serta ilmu dalam pengurusan JPP di IPGM masing2. Bertitik-tolak dari kursus itu juga kami telah menubuhkan jawatankuasa setiap biro untuk zon utara dimana jawatankuasa tersebut terdiri dari semua JPP ZOn Utara. Ia adalah bertujuan untuk menyelaraskan pengurusan dan menguatkan lagi organisasi JPP. Ana terlibat dalam dua organisasi iaitu biro penerbitan dan Ikatan JPP Kerohanian Zon Utara (http://badarforce313.blogspot.com) yang mana Ikatan JPP Kerohanian tidak hanya terbatas keahliannya kepada Biro Kerohanian semata-mata tetapi untuk semua penggiat2 dakwah di IPGM Zon Utara Khasnya dan IPGM seluruh Malaysia amnya.
Kepada semua daie-daie di IPGM, marilah sama-sama kita berjuang untuk menegakkan agama Allah di bumi wakafan IPGM kita semua. Sama-samalah kita berjuang mengembalikan kegemilangan Islam di dunia ini.
Dan...
Ianya hendaklah bermula dari kta semua bakal pendidik generasi masa hadapan.
Wednesday, May 27, 2009
Anugerah Akal : Satu Anugerah
Sesetengah orang berfikir bahawa oleh kerana kita mempunya satu ajaran hidup yang sempurna dalam Al-Qur'an, kita boleh terus melaksanakannya dalam kehidupan kita tanpa berfikir mengenainya. Allah menganugerahkan kita akal untuk memahami dan mengamalkan keimanan kita. Inilah yang membezakan kita dengan haiwan. Kita bukanlah makhluk yang terpantas, terbesar, paling gagah, atau yang tertinggi di antara semua makhluk. tetapi kita adalah yang paling bijak di antara makhluk!
Pada suatu masa terdapat seekor singa di hutan. Singa itu memberitahu anaknya; "Engkau tidak perlu takut kepada binatang lain, tetapi awasi diri engkau daripada satu makhluk yang berkaki dua, iaitu manusia, dia ada akal." Pada suatu hari anak singa itu bertemu dengan seorang manusia dan menawannya. Anak singa itu hampir membunuhnya. Anak singa itu teringat akan nasihat bapanya dan bertanya kepada manusia itu, "Bapa telah memberikan amaran kepada aku tentang engkau. Bolehkah engkau tunjukkan akal engkau?" Manusia itupun berkata; "Ya, tetapi aku tinggalkannya di rumah. Kalau engkau lepaskan aku, aku akan balik ke rumah untuk mendapatkannya." Anak singa itupun setuju. Manusia itupun berkata;"Tetapi mungkin engkau akan pergi dari sini dan aku tidak akan menjumpai engkau. Biar aku tambat engkau pada sebatang pokok supaya engkau tidak meninggalkan tempat ini." Anak singa itu bersetuju. Apabila manusia itu menambat anak singa tersebut, dia terus mendapatkan kayu dan memukul anak singa yang malang itu sehingga mati. Dalam saat-saat yang terakhir, anak singa itu mengingati nasihat bapanya;"Berjaga-jagalah dengan manusia, dia ada akal.
Malang sekali kita tidak menggunakan akal kita dengan sepenuhnya. Dalam sesetengah keadaan, kita membiarkannya dalam keadaan baru. Kita tiak pernah menggunakannya! Secara serius, kajian saintifik menunjukkan bahawa manusia biasa jarang-jarang menggunakan seluruh potensi kekuatan akalnya lebih daripada 5-10%.
p/s : Marilah kita bangunkan akal kita semampu yang mungkin. Akal mempunyai kekuatan yang tidak terbatas berbanding kekuatan fizikal yang kita ada.
Sunday, May 24, 2009
Antara Teori Dan Amali
Di sana terdapat perbezaan yang jauh antara teori dan praktik.
Tuesday, May 19, 2009
Anak Kita dan Anak Mereka
Baik...
Satu persoalan untuk di jawab...
Anak-anak anda, adik-adik anda ataupun anak-anak murid anda malas belajar? Ponteng sekolah? Suka ponteng kelas?
Berikut adalah paparan-paparan cerita anak-anak Palestin yang boleh diceritakan kepada mereka untuk dijadikan pengajaran...
Mahmoud (9 tahun) dari Beit Hanun, Gaza.
Sekolah dan kanak-kanak turut menjadi mangsa keganasan rejim Zionis dengan alasan mencari pejuang-pejuang Palestin. Sekoalh Mahmoud turut dirobohkan.
Jentolak dan kereta perisai yang meruntuhkan bangunan sekolah turut melepaskan tembakan ke arah sekolah dan kanak-kanak tersebut. Mujurlah kanak-kanak sekolah dikeluarkan terlebih dahulu dari bangunan sekolah.
Persoalannya, sekolah telah hancur dan musnah, bagaimana Mahmoud dan rakan-rakannya akan bersekolah? Jika mereka ingin bersekolah, ke mana mereka hendak pergi?
Sedangkan sekolah UNRWA yang terletak lebih kurang 20km daripada kawasan kem pelarian mereka. Adakah ini bermakna Mahmoud dan rakan-rakan terpaksa melupakan masa depan mereka?
Masalah ini ditangani apabila semua guru sanggup menjadikan rumah mereka sebagai kelas mengikuti mata pelajaran yang di ajar oleh guru tersebut. Contohnya, jika mereka mahu belajar Matematik, rumah cikgu Sa'id merupakan tempat untuk belajar Matematik. Jika mereka hendak belajar bahasa Inggeris, mereka akan ke rumah cikgu Hannan.
Bagi Mahmoud, suasana belajar seumpama ini amat menyeronokkan. Rejim Zionis mungkin dapat meruntuhkan bangunan-bangunan sekolah tetapi tidak dapat meruntuhkan semangat perjuangan dalam jiwa mereka. Pesanan pengetua sekoalh mereka:
"Kita sudah hilang segala-galanya, rumah, sekolah, kampung, tanah air dan juga harta. Tetapi kita tidak sekali-kali akan hilang jiwa dan akal. Mereka boleh menghancurkan segala-galanya, tetapi semangat jihad dan juga semangat juang dalam diri kamu semua sekali-kali tidak akan dapat mereka rampas. Lengkapkan diri kamu dengan pelajaran, insyaALLAH masa depan yang lebih cerah akan menjadi milik kita... itulah janji ALLAH!"
Hind (12 tahun) Tebing Barat.
Hind seorang murid sekolah rendah di Tebing Barat. Dia tidak terlepas dari kesulitan hidup disebabkan oleh tembok pemisah yang dibina. Sekolahnya terletak di sebelah dalam tembok, manakala rumahnya di luar kawasan tembok.
Sebelum tembok ini dibina, Hind akan berjalan kaki selama 20 minit untuk sampai ke sekolah bersama-sama rakan-rakannya. Dia tidak pernah lambat ke sekolah. Begitui juga dengan rakan-rakannya.
Itu adalah tabiat murid-murid Palestin. Kelewatan masuk kelas merupakan suatu yang mengaibkan bagi diri mereka dan keluarga mereka. Cikgu Jumanah pernah mengatakan:
"Jika kamu sengaja lambat hadir ke kelas, bermakna kamu melambatkan usaha kemerdekaan negara kita!"
Pernah ada rakan Hind yang terlambat ke kelas kerana ditahan dan diperiksa oleh tentera Zionis di jalan raya. Dia telah menangis sepanjang hari walaupun tidak dimarahi oleh guru kelasnya. Apabila dipujuk oleh gurunya, dia mengatakan:
"Saya tidak mahu kerana saya lambat, rakyat Palestin akan terus hidup merana dan dibunuh oleh Yahudi."
Mujurlah guru-guru di sekolah memahami dan ikhlas dalam mendidik anak-anak bangsa mereka. Bagi murid-murid yang lambat, guru-guru akan mengadakan kelas tambahan secara percuma.
Walaupun tanpa sebarang bayaran, mereka tetap gigih demi mendidik anak-anak mereka yang dahagakan ilmu dan bimbingan. Walaupun dihalang oleh tembok pemisah yang besar, anak-anak Palestin tidak pernah putus asa untuk pergi ke sekolah untuk menimba ilmu. Adakah anak-anak kita ataupun kita sendiri mempunyai semangat segigih ini? Tepuk dada tanyalah iman masing-masing.
Lou ay (10 tahun) Refah, Gaza.
Lou ay masih ingat, siren yang dipasang oleh para tentera rejim untuk memberi amaran kepada para penduduk agar meninggalkan rumah masing-masing. Ketika itu, Lou ay sedang menyiapkan kerja rumahnya. Ibunya sedang menyusukan adiknya. Manakala bapa Lou ay tiada di rumah menziarahi jiran mereka, Abu Samir yang cedera ditembak oleh tentera rejim.
Tentera rejim menendang pintu rumahnya dan menjerit menyuruh mereka keluar. Maki hamun dalam bahasa Arab dan bahasa Ibrani (Hebrew) menyulami jerkahan mereka. Lou ay, ibu dan adiknya bergegas meninggalkan rumah mereka dengan mencapai apa sahaja yang sempat.
Lou ay masih teringat ibunya menjerit, "beg sekolah kamu!, beg sekolah kamu!" Ketika mereka bergegas keluar sambil but salah seorang tentera Zionis hinggap di punggungnya dan juga di pinggang ibunya yang hampir-hampir membuatkan ibunya tersungkur.
Pada malam itu, dengan mata kepalanya sendiri, Lou ay menyaksikan rumahnya dan rumah-rumah jirannya yang lain telah dirobohkan. Sesekali terdengar bunyi tembakan di jalan besar. Komando al-Qassam yang datang untuk menghalau tentera-tentera Zionis.
Bunyi tembakan itu hanya seketika dan tidak dapat menghalang rumahnya daripada dirobohkan. malam itu, mereka terpaksa bermalam di jalan raya. Suasana sejuk menjadikan mereka kaku.
Mujurlah badan-badan kebajikan rakyat Palestin datang membantu mereka dan menempatkan mereka di pejabat-pejabat dan juga markaz-markaz mereka. Kata ibu Lou ay:
"Mereka ini orang HAMAS, sebab itu mereka membantu kita!"
Lou ay tahu. HAMAS berada dalam hati setiap anak-anak Palestin. Mereka adalah penyelamat dan juga pelindung sebenar rakyat Palestin. HAMAS banyak membantu rakyat Palestin. Mendidik anak-anak Palestin sepertinya. Yang lebih penting, dapat membunuh dan menentang para tentera rejim Zionis yang kejam dan zalim.
keesokan harinya, ayah dan ibu membawa Lou ay pergi ke puing-puing rumah mereka. Pesan ayah, urusan rumah serahkan kepada ayah. Nanti kita bina yang baru. Tetapi kamu cari beg sekolah dan buku-buku kamu. Hari ini kamu akan ke sekolah!
Di sekolah, tidak seorang pun jiran-jirannya yang ponteng. Semua hadir bersama-sama lou ay demi memperlengkapkan diri mereka dengan ilmu. Pesan Syeikh Maad, imam di salah sebuah masjid di kem mereka:
"Rumah di dunia ini boleh dirobohjan, tetapi rumah kita di syurga kekal selama-lamanya. Oleh itu, carilah jalan untuk membina rumah di syurga, bermula dengan mencari ilmu!"
* Cerita ini ana ambik dari buku Peluru Lawan Batu: Konflik Palestin & Israel karangan Ustaz Maszlee Malik.
Berdasarkan cerita yang telah di kemukakan di atas, ana rasa banyak pengajaran yang kita perolehi. Bukan sahaja oleh murid-murid tetapi juga oleh ibubapa, guru dan masyarakat. Di negara kita kenapa masih ramai yang lena? Ini kerana disebabkan kita berada dalam zon yang selesa. Oleh itu, marilah sama-sama kita berubah kepada lebih baik. Kitalah penentu kejayaan dan kegemilangan masa depan Islam. Kita jugalah pencorak masa hadapan anak-anak kita.
Save Palestin!!!
Saturday, May 16, 2009
Happy Teachers Day
THANKS YOU TEACHERS
شكرا لكم
GURU PEMBINA NEGARA BANGSA
Bersedia melangkah megah
Walaupun sukar baktiku curah
Demi mu ibu pertiwi
Sumpah ku lafaz janji kukota
Berikrar eratkan bangsa
Kukuhkan cinta kepada Negara
Berjasa terus berjasa
Menyebarkan ilmu tiada batasnya
Guru Pembina Negara Bangsa
Gagah perjuangkan visi Negara
Bangunkan jiwa yang pelbagai rupa
Demi agama dan nusa tercinta
Guru Pembina Negara Bangsa
Tetap Unggul senadakan suara
Sehaluan menggapai matlamatnya
Cemerlang dan gemilangkan Malaysia
Pencipta Lagu : Khairulrizam bin Khalid
Pencipta Lirik : Ili Nurbahirah bt Baharudin
Pengubah Muzik : Marzuki bin Tambi
Wednesday, May 13, 2009
Layar Cinta
Denai hijau, langit biru, gunung kelabu...
Bukanlah sekadar bingkai satu pemandangan
Yang menyuratkan sebuah keindahan...
Tapi potret hakiki menyerlahkan kebenaran
Cermin alam yang memantulkan keindahan Tuhan
Denai, langit dan gunung
Adalah satu cubitan kasih pada satu kealpaan
Pada limpahan nikmat selaut indah
Ke mana tumpahnya munajat seraut sembah?
Sekian lama melihat alam penuh teratur
Mengapa hatimu masih lupa untuk bersyukur?
Denai, langit dan gunung
Adalah pantulan lambang biasan tamsilan
Gunung... bagai pasak teguh kemurnian iman
langit... hamparan saujana kelapangan Islam
Denai... lembah subur kelembutan ihsan
Adalah citra di kanvas hati yang dihiasi...
Rasa kehambaan
Ketika sunyi diri berwacanalah diri di dalam diri
Ya Hannan, teguhkanlah imanku
Seteguh gunung itu...
Ya Mannan, lapangkanlah Islamku
Selapang langit biru...
Dan lembutkanlah ihsanku
Selembut rumput di denai itu
Nescaya bertamulah diri yang hakiki
Di kamar hati cinta Ilahi
Ya Allah...
Tika gagah-Mu bercermin alam sepenuh
Terasa lemahku mencengkam diri seluruh
Dan kolam hatiku tak kan selamanya keruh
Insya-Allah
Tuesday, May 12, 2009
Basyir dan Nazir
Thursday, May 7, 2009
Luahan Hati Seorang Muslimah
Entah angin apa yang membuai hari ini, membuatkan aku begitu berani mencoretkan sesuatu untuk dirimu yang tidak pernah aku kenali. Aku sebenarnya tidak pernah berniat untuk memperkenalkan diriku kepada sesiapa. Apatah lagi meluahkan sesuatu yang hanya aku khususkan buatmu sebelum tiba masanya. Kehadiran seorang lelaki yang menuntut sesuatu yang ku jaga rapi selama ini semata-mata buatmu, itulah hati dan cintaku, membuatkan aku tersedar dari lenaku yang panjang.
Ibu telah mendidikku semenjak kecil agar menjaga maruah dan mahkota diriku kerana ALLAH telah menetapkannya untukmu suatu hari nanti. Kata ibu, tanggungjawab ibu-bapa terhadap anak perempuan ialah menjaga dan mendidiknya sehingga seorang lelaki mengambil-alih tanggungjawab itu dari mereka. Jadi, kau telah wujud dalam diriku sejak dulu lagi. Sepanjang umurku ini, aku menutup pintu hatiku daripada mana-mana lelaki kerana aku tidak mahu membelakangimu.
Aku menghalang diriku daripada mengenali mana-mana lelaki kerana aku tidak mahu mengenali lelaki lain selainmu, apatah lagi memahami mereka. Kerana itulah aku sedaya kudrat yang lemah ini membatasi pergaulanku dengan bukan mahramku. Aku lebih suka berada di rumah kerana rumah itu tempat terbaik buat seorang perempuan. Aku sering berasa tidak selamat diperhatikan lelaki. Bukanlah aku bersangka buruk terhadap kaummu, tetapi lebih baik aku berwaspada kerana contoh banyak didepan mata.
Aku palingkan wajahku daripada lelaki yang asyik memerhati diriku atau cuba menegurku. Aku sedaya mungkin melarikan pandanganku daripada lelaki ajnabi kerana Sayyidah Aisyah r.a pernah berpesan, "Sebaik-baik wanita ialah yang tidak memandang dan tidak dipandang oleh lelaki." Aku tidak ingin dipandang cantik oleh lelaki. Biarlah aku hanya cantik di matamu. Apalah gunanya aku menjadi idaman ramai lelaki sedangkan aku hanya boleh menjadi milikmu seorang.
Aku tidak berasa bangga menjadi rebutan lelaki bahkan aku berasa terhina diperlakukan begitu seolah-olah aku ini barang yang boleh dimiliki sesuka hati.
Aku juga tidak mahu menjadi punca kejatuhan seorang lelaki yang dikecewakan lantaran terlalu mengharapkan sesuatu yang tidak dapat aku berikan. Bagaimana akan ku jawab di hadapan ALLAH kelak andai disoal? Kalau aku tidak ingin engkau memandang perempuan lain, aku dululah yang perlu menundukkan pandanganku. Aku harus memperbaiki dan menhias peribadiku kerana itulah yang dituntut oleh ALLAH. Kalau aku ingin lelaki yang baik menjadi suamiku, aku juga perlu menjadi perempuan yang baik. Bukankah ALLAH telah menjanjikan perempuan yang baik itu untuk lelaki yang baik?
Tidak ku nafikan sebagai remaja, aku memiliki perasaan untuk menyangi dan disayangi. Namun setiap kali perasaan itu datang, setiap kali itulah aku mengingatkan diriku bahawa aku perlu menjaga perasaan itu kerana ia semata-mata untukmu. ALLAH telah memuliakan seorang lelaki yang bakal menjadi suamiku untuk menerima hati dan perasaanku yang suci. Bukan hati yang menjadi lebihan lelaki lain. Engkau berhak mendapat kasih yang tulen.
Diriku yang sememangnya lemah ini telah diuji oleh ALLAH apabila seorang lelaki ingin berkenalan denganku. Aku dengan tegas menolak, berbagai-bagai dalil aku kemukakan, tetapi dia tetap tidak berputus asa. Aku terasa seolah-olah kehidupanku yang tenang sebelum ini telah dirampas dariku. Aku tertanya-tanya adakah aku berada di tebing kebinasaan? Aku beristighfar memohon keampunan-Nya. Aku juga berdoa agar Pemilik Segala Rasa Cinta melindungi diriku dari kejahatan.
Kehadirannya membuat aku banyak memikirkan tentang dirimu. Kau ku rasakan seolah-olah wujud bersamaku. Di mana sahaja aku berada, akal sedarku membuat perhitungan denganmu. Aku tahu lelaki yang melamarku itu bukan dirimu. Malah aku yakin pada gerak hatiku yang mengatakan lelaki itu bukan teman hidupku kelak. Aku bukanlah seorang gadis yang cerewet dalam memilih pasangan hidup. Siapalah diriku untuk memilih permata sedangkan aku hanyalah sebutir pasir yang wujud di mana-mana. Tetapi aku juga punyai keinginan seperti wanita solehah yang lain, dilamar lelaki yang bakal dinobat sebagai ahli syurga, memimpinku ke arah tuju yang satu. Tidak perlu kau miliki wajah setampan Nabi Yusuf a.s, juga harta seluas perbendaharaan Nabi Sulaiman a.s, atau kekuasaan seluas kerajaan Nabi Muhammad s.a.w, yang mampu mendebarkan hati jutaan gadis untuk membuat aku terpikat. Andainya kaulah jodohku yang tertulis di Luh Mahfuz, ALLAH pasti mencampakkan rasa kasih dalam hatiku jua hatimu. Itu janji ALLAH. Akan tetapi, selagi kita tidak diikat dengan ikatan yang sah, selagi itu jangan dibazirkan perasaan itu kerana kita masih tidak punya hak untuk berbuat begitu. juga jangan melampaui batasan yang telah ALLAH tetapkan. Aku takut perlakuan itu akan memberi kesan yang tidak baik dalam kehidupan kita kelak.
Permintaanku tidak banyak. Cukuplah engkau menyerahkan seluruh dirimu pada mencari redha Ilahi. Aku akan berasa amat bertuah andai dapat menjadi tiang seri ataupun sandaran perjuanganmu. Bahkan aku amat bersyukur pada Ilahi kiranya akulah yang ditakdirkan meniup semangat juangmu, menghulurkan tanganku untukmu berpaut sewaktu rebah atau tersungkur di medan yang dijanjikan ALLAH dengan kemenangan atau syahid itu. Akan ku kesat darah dari lukamu dengan tanganku sendiri. Itu impianku.
Aku pasti berendam air mata darah, andainya engkau menyerahkan seluruh cintamu padaku. Cukuplah kau mencintai ALLAH dengan sepenuh hatimu kerana dengan mencintai ALLAH, kau akan mencintaiku kerana-Nya. Cinta itu lebih abadi dari cinta biasa. Moga cinta itu juga yang akan mempertemukan kita kembali di syurga...
Wassalam...
Artikel ini ana tujukan kepada saudara seagama ana yang bergelar Muslimah. Moga-moga antunna semua yang sedang tercari-cari cinta sejati dapat mengambil iktibar dari artikel yang tidak seberapa ini kalau dibandingkan dengan ilmu ALLAH yang tak terhitung banyaknya.
Juga kepada saudaraku yang lelaki, kalau antum ingin mencari suri hidup antum seorang Muslimah yang Mukminah, ia hendaklah terlebih dahulu dimulai dari diri antum semua.
Bagaimana???
Jadilah seorang yang soleh barulah antum akan mendapat isteri yang solehah.
Jangan harapkan isteri solehah sedangkan diri kita jauh sekali dari ciri-ciri lelaki soleh.
InsyaALLAH...
Sunday, March 15, 2009
Balik Cuti
Friday, March 13, 2009
Cuti
Assalamualaikum...
Aku memang bersemangat nak ajar anak murid aku tu. Susah tu memang susah. Tapi aku merasa bertanggungjawab untuk mengajar dia jadi aku tetap berusaha untuk mengajar dia sampai pandai.
Thursday, March 12, 2009
Pengalaman?
Tinta Perkenalan
Ini bicara pertama saya. Bicara pengenalan diri. Tetapi jangan tersalah sangka tersilap duga, bukan diri saya yang mahu saya perkenalkan! Tidak mengapalah jika hidup di dunia sementara, nama saya tidak masyhur seantero dunia. Asal punya jasa buat bekalan bertemu yang Maha Esa, itu sudah berpada.
Lewat blog ini, saya ingin menukilkan sedikit ilmu buat tatapan. Bukankah Muhammad SAW merupakan rahmat buat seluruh umat sepanjang zaman? Justeru, ajaran yang disampaikan baginda itulah yang patut kita amalkan.
Sesuaikah ajaran Muhammad SAW untuk semua insan? Mengapa mahu menafikan? Kerana golongan yang mendalami kitab suci agama masing-masing pasti memperakukan. Dalam Injil Kristian, Muhammad SAW dikenali sebagai Paracletos, dalam Vedas dan Purana Hindu, baginda dikenali dengan Narashangsa, Antim Rishi, Kalki Avatar dan Ahamidi, dan dalam kitab agama Budha pula, gelaran baginda ialah Maitreya.
Anda pasti sudah mengetahui, Tinta itu apakah erti. Justeru, tidak perlulah saya menghuraikannya dengan penuh rinci. Al-Quran ada menyebutnya yang bererti:
Katakanlah (Wahai Muhammad): "Kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta untuk menulis kalimah-kalimah Tuhanku, sudah tentu akan habis kering lautan itu sebelum habis kalimah-kalimah Tuhanku. Walaupun Kami tambahkan lagi dengan lautan yang sebanding dengannya, sebagai bantuan". (Al-Kahfi: 109)
Dunia akhir zaman kini menghadapi seribu satu macam tribulasi. Islam yang suatu ketika dahulu datang bersama Muhammad SAW dianggap dagang, kini berulang kembali. Ajaran Islam sudah tidak diamalkan lagi, manakala penegaknya sering diherdik dan dimaki, ditambah pihak musuh pula (Barat) sibuk mempromosi; ’Islam terrorist’ atau disebut di dalam bahasa Arab sebagai ’irhabi.’
Untuk mengembalikan kegemilangan itu, marilah kita berkongsi ilmu dan pengalaman. Saya masih baru dalam segala bidang. Tunjuk ajar anda amat saya harapkan. Semoga Islam gemilang di dunia dan sudah pasti Islamlah satu-satunya agama disisi Allah sebagaimana Firman Allah Taala yag bermaksud:
" Sesungguhnya agama di sisi Allah ialah Islam. Tidak berselisih orang-orang yang telah diberi Kitab kecuali setelah mereka memperolehi ilmu, kerana kedengkian diantara mereka. Barangsiapa ingkar terhadap ayat-ayat Allah, maka sesungguhnya, Allah sangat cepat perhitungan-Nya."
Andai anda punya pendapat mahu diutarakan, maka saya amat mengalu-alukan. Bak kata pepatah Melayu zaman berzaman, ”kecil tapak tangan, nyiru kami tadahkan.” Bukankah saya,anda dan kita semua bakal pencorak anak bangsa pada masa hadapan? Ilmu banyak tersemat di dada terpendam di minda, inilah gelanggang untuk dizahirkan.
Sekali lagi ingin saya nyatakan, saya adalah orang baru, seperti bayi yang tidak tahu apa-apa. Anda semua bagaikan guru dan penilai terhadap apa yang saya coretkan. Semoga blog ini akan menjadi blog yang ilmiah dan dapat memberi manfaat kepada semua.
Wallahua'lam...